Johor perlu pangkalan data, rekod jumlah pekerja Malaysia di Singapura

Iklan
Che Zakaria melakukan kerja-kerja membersihkan Tanah Perkuburan Kampung Pertanian, Masai, Pasir Gudang pada Sabtu.

PASIR GUDANG - Johor perlu membangunkan pangkalan datanya sendiri yang merekodkan jumlah pekerja Malaysia di Singapura.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh berkata, pangkalan data tersebut harus menyeluruh termasuk jumlah mereka yang dibuang kerja, terkandas di republik itu termasuk segala masalah yang dihadapi.

Iklan
Iklan

"Setakat ini kita tidak mempunyai pangkalan data menyeluruh yang boleh dijadikan rujukan," katanya kepada pemberita selepas Program Gotong Royong Persatuan Kebajikan Anak Muda Bersatu (ABM) Pasir Gudang di Tanah Perkuburan Kampung Pertanian, Masai, di sini pada Sabtu.

Katanya, pihak bertanggungjawab membangunkan pangkalan data itu nanti boleh bekerjasama dengan kerajaan Singapura termasuk pihak majikan.

Iklan

Selain itu ujarnya, bantuan wajar diberikan terhadap pekerja Malaysia di Singapura yang masih tidak dapat balik ke Johor sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan Mac lalu.

Menurutnya, majoriti mereka amat terdesak untuk pulang ke Johor tetapi disebabkan kos tinggi yang terpaksa ditanggung sendiri, hasrat itu terpaksa dibatalkan dan menunggu sehingga sempadan dibuka sepenuhnya.

Iklan

"Jika mereka mahu balik, mereka perlu mengeluarkan kos sebanyak RM8,000 untuk semua kos pulang ke Johor. Syarikat tempat mereka bekerja tidak menanggung kos tersebut dan apabila balik pula berisiko hilang kerja.

"Setakat ini menerusi bancian Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas di 3,000 rumah pekerja Malaysia di Singapura yang tinggal di Pasir Gudang, pelbagai masalah dihadapi keluarga mereka. Ini termasuk isu cerai-berai melibatkan pasangan suami isteri," katanya.

Majoriti daripada mereka katanya, orang Sabah dan Sarawak selain Johor sendiri dan pihak Persatuan Kebajikan ABM Pasir Gudang dan Kelab Permotoran Bersatu Pasir Gudang menghulurkan sumbangan untuk keperluan mereka.

Ujarnya, bantuan diberikan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama kerana memahami kesusahan yang dialami akibat ketiadaan ketua keluarga manakala bancian akan diteruskan dari rumah ke rumah.

Sementara itu, Che Zakaria yang juga Penaung Persatuan Kebajikan ABM Pasir Gudang berkata, tempat kuarantin yang mencukupi perlu disediakan kerana kes Covid-19 terus meningkat kebelakangan ini di Johor.

Menurutnya, walaupun Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Johor Bahru disediakan untuk kuarantin, pihak berkenaan harus bersiap sedia jika keadaan bertambah buruk.