Amanah mahu perkukuh PH, kata Mohamad Sabu

Iklan
Mohamad (tengah) pada sidang akhbar Konvensyen Nasional 2020 Parti Amanah yang diadakan secara dalam talian pada Sabtu. Hadir sama, Salahuddin (kiri) dan Hatta (kanan).

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) akan terus memainkan peranan untuk mengukuhkan Pakatan Harapan (PH) serta meluaskan kerjasama dengan parti pembangkang lain untuk membentuk satu gabungan besar bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, beliau juga yakin PH mampu mencari titik persamaan ini dan mengukuhkan kembali hubungan antara semua pemimpin pembangkang sedia ada.

Iklan
Iklan

"Kita akan terus berbincang dalam mesyuarat-mesyuarat PH, sama ada kita akan mengambil alih kerajaan secara cukup bilangan ahli Parlimen yang menyokong ataupun nak menghadapi pilihan raya.

"Kita mesti kukuhkan PH dahulu, kemudian kalau ada parti pembangkang yang lain hendak bersama, kita akan bawa ke dalam mesyuarat PH supaya kekuatan kita lebih terserlah.

Iklan

"Kita akan berbincang dan akan membuat keputusan bersama (pembangkang yang lain). Itu yang paling utama," katanya pada sidang akhbar Konvensyen Nasional 2020 Parti Amanah yang diadakan secara dalam talian pada Sabtu.

Turut hadir, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahuddin Ayub dan Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Hatta Ramli.

Iklan

Katanya, PH masih lagi meneruskan gerakan untuk mengambil alih kerajaan.

"Ia masih diteruskan dan kalau kita mendapat sokongan yang cukup, maka kita boleh mengambil semula mandat rakyat ini.

"Sudah tentulah melalui proses menghadap Yang di-Pertuan Agong, mengemukakan jumlah dan sebagainya untuk kita mengambil alih (kerajaan).

"Kita (PH) akan terus bermesyuarat dan dalam bermesyuarat memang banyak pandangan berbeza tetapi kita masih lagi bersatu dan bersama. Saya yakin PH akan mantap menjelang pilihan raya akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Konvensyen Amanah kali kelima yang diadakan di Melaka, Mohamad berkata, ia berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Perwakilan terhad, sekadar cukup untuk memenuhi tuntutan perlembagaan parti dan yang dikehendaki Pendaftar Pertubuhan (RoS).

"Konvensyen kali ini menekankan soal kerjasama dengan PH dan rakan-rakan baharu yang sudi bersama PH untuk membina polisi yang lebih kuat bagi menghadapi pilihan raya,” katanya.