KOTA KINABALU - Kolej Vokasional Keningau (KVK) terus melakar sejarah tersendiri di samping mengharumkan nama negara apabila meraih empat pingat termasuk satu emas pada pertandingan inovasi Pameran Teknologi, Inovasi dan Reka Cipta Harta Intelek Antarabangsa (IPITEX) di Bangkok, Thailand.
Pertandingan yang berakhir semalam itu menyaksikan KVK menang pingat emas bagi inovasi"Zombie Challenge Series” yang merupakan aktiviti pembelajaran menggunakan konsep gamifikasi yang digabungkan dengan tema ‘zombie’.
Perekanya, Mohd Sirhajwan Idek yang juga ketua pasukan KVK ke pertandingan itu, berkata kejayaan tersebut menyusuli pencapaian cemerlang KVK tahun lepas yang menyaksikannya membawa pulang tujuh pingat pada pertandingan inovasi di Korea Selatan dan Indonesia.
KVK diwakili tiga guru dan empat pelajar yang menyertai empat kategori pada pertandingan yang diadakan di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Bangkok bermula Sabtu lepas, katanya kepada Bernama, hari ini.
Menurut Mohd Sirhajwan, KVK meraih pingat perak untuk makanan tradisional Kadazandusun 'Bosou D' Maliki' yang dihasilkan oleh guru kulinari KVK Saumon Maliki bersama pelajarnya Allan Clement.
Katanya, inovasi ketiga iaitu alat binaan"Mortar Spread of Wall Tiles” ciptaan pelajar bidang teknologi pembinaan Cyprean Fioren meraih pingat gangsa.
KVK turut memenangi pingat gangsa bagi inovasi keempat yang dipertandingkan iaitu produk bakeri"Bangcaroon” ciptaan guru bakeri Anita Md Yasin dan pelajarnya Mel C Jane serta Nurul Natasha.
Bangcaroon ialah ‘macaroon’ yang mengandungi bahan bahan tempatan Sabah iaitu buah bambangan, biji buah nangka dan kayu manis, jelas Mohd Sirhajwan.
KVK terletak kira-kira 105 kilometer dari Kota Kinabalu. - Bernama