KUANTAN - Polimik dana RM90 juta yang didakwa disalurkan ke akaun beberapa pemimpin Pas itu disifatkan sebagai isu lama yang dihangatkan kembali menjelang PRK Semenyih, 2 Mac depan.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu berkata, isu itu sudah lama namun tiba-tiba menjadi hangat selepas keputusan penarikan balik saman terhadap Editor Sarawak report, Clare Rewcastle- Brown.
Menurutnya, Pas Pahang selari dengan pendirian Pas Pusat apabila bersedia membuka pintu untuk siasatan dilakukan berhubung perkara itu.
"Kita tiada masalah dan sedia berkerjasama dalam siasatan ini bagi membuktikan kebenaran,”katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Andansura berkata, ahli Pas juga terbuka dan faham tentang isu RM90 juta dari Umno yang didakwa diterima pemimpin tertentu.
"Perkara ini tidak perlu untuk dijelaskan lagi kepada ahli akar umbi kerana mereka sudah faham motif isu ini dihangatkan,”katanya.
Berhubung bantuan jentera pas untuk PRK Semenyih, Andansura berkata, setakat ini Pas Pahang belum ada ketetapan sama ada akan menghantar jentera atau sebaliknya.
"Sekiranya ada keperluan sokongan jentera dan diminta untuk membantu, kita akan bantu namun sekarang ini kami masih menunggu dan belum ada sebarang arahan,”katanya.