JERLUN - Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berharap senarai nama pemohon bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jerlun di Ayer Hitam tidak dirombak kerana pemilihan dilakukan secara telus ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Mukhriz berkata, beliau difahamkan pemilihan penghuni di PPR berkenaan akan melalui suatu proses baharu yang akan dijalankan secara atas talian.
"Saya rasa ia tidak masuk akal kerana semua urusan senarai pemohon termasuk proses temubual telah dilaksanakan dengan begitu baik sekali melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), penghulu dan akhir sekali diserahkan kepada pejabat daerah.
"Semua proses sudah dilalui dan saya tidak merasakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) lebih mengenali penduduk di Ayer Hitam ini melebihi pejabat daerah sendiri," katanya ketika sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Jerlun di sini pada Sabtu.
Mukhriz juga berharap KPKT akan bertanggungjawab atas segala kerosakan yang berlaku di setiap unit rumah PPR berkenaan.
"Saya difahamkan banyak unit rumah mengalami kerosakan. Mana ada projek perumahan yang sudah ada pembeli tetapi menerima rumah yang sudah rosak.
"Jadi saya ingin tegaskan di sini bahawa ia secara tidak langsung menjadi tanggungjawab kerajaan memastikan rumah itu dalam keadaan sempurna sebelum diserahkan kepada pemohon yang layak,"katanya.
Terdahulu, Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin yang mengadakan mesyuarat bersama Exco Perumahan Kedah, Robert Ling Kui Ee menjelaskan bahawa senarai nama 630 pemohon yang layak untuk menduduki PPR Taman Jerlun di Ayer Hitam itu akan dikeluarkan oleh KPKT pada Isnin depan.
Tambahnya, terdapat isu teknikal yang perlu diselesaikan pihaknya sebelum ini yang menyebabkan kelewatan untuk pengisian penduduk bagi projek berkenaan.
Katanya, pemohon diberi masa selama 10 hari dan bukannya tempoh sebulan untuk menjawab sama ada menerima tawaran ini atau tidak sebelum dibenarkan masuk ke unit masing-masing.
Pada 19 Disember lalu, beberapa penduduk di Jerlun mengadakan bantahan bagi mendesak campur tangan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dan kerajaan pusat berhubung isu PPR berkenaan.
Mereka mendakwa tiada sebarang maklum balas yang diberikan kepada pemohon sedangkan projek perumahan tersebut telah siap pada Julai tahun lalu.
Selain itu, disebabkan projek berkenaan terbiar mengakibatkan 300 daripada 630 unit rumah PPR itu yang telah siap rosak, siling bocor, dinding retak, wayar elektrik tercabut dan dicuri.