KOTA TINGGI - Sepasang suami isteri di Bandar Penawar mengesan ibu kandung anak angkatnya bagi membantu urusan dokumentasi dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Suhaila Mohd Ajib, 43 berkata, dia dan suami Ahmad Saydi Nor @ Nordin, 46, telah menjaga anak angkatnya Fatima Qumaira Azzahra Abdul Hadi sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, Fatima kini berusia dua tahun enam bulan telah diambil dari ibu kandungnya sejak hari kedua dia dilahirkan.
"Sebaik mengambil Fatima kami terus daftarkan dia di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kuala Krai. Ibunya juga ada mengangkat sumpah untuk proses penyerahan anak angkat kepada kami.
"Ibu kandungnya merupakan seorang remaja berusia 16 tahun. Saya diperkenalkan dengan ibunya oleh rakan sekerja. Tambahan pula saya dan suami belum diberi rezeki anak.
"Sebelum dilahirkan, saya pernah ke Kelantan berjumpa ibu kandungnya semasa bayi dalam kandungan berusia enam bulan. Selepas Fatima dilahirkan itulah kali terakhir kami berjumpa ibu kandungnya,"katanya.
Tambahnya, kini dia dan suami sudah menganggap Fatima seperti anak kandung sendiri segala kasih sayang dicurahkan sepenuhnya terhadap kanak-kanak itu.
Jelasnya, apa diharapkan ibu kandung Fatima dapat tampil membantu urusan dokumentasi dengan pihak JKM Kota Tinggi.