Roh sastera selepas tamat KLWBC

Iklan
Dunia sastera turut terjejas ekoran pandemik Covid-19.

Sejak meledaknya pandemik Covid-19, sistem kehidupan umat manusia di seluruh dunia terjejas, termasuklah dunia sastera dan perbukuan kita. Tanpa perlu menyalahkan mana-mana pihak, kita perlu bersama-sama menanganinya dengan kefahaman dan keupayaan masing-masing.

Perlu diakui bahawa dunia sastera kita kecil, terkepung dalam suatu lingkungan komuniti yang berpencar-pencar pula dalam kelompok masing-masing. Banyak aliran dan kumpulan sastera dibentuk oleh pendirinya bersama-sama dengan pengikut masing-masing.

Iklan
Iklan

Sememangnya itu sifat yang alami. Sedangkan dunia politik, agama, sosial pun memiliki kerencaman fikrah, apatah lagi dengan dunia sastera yang sangat kuat mementingkan individualiti.

Sastera dalam era moden sudah melenyapkan pemilikan komunal sebagaimana dalam sastera tradisional. Manusia era moden mementingkan individualiti; begitu jugalah golongan penulis dalam soal pengkaryaan.

Namun demikian, dengan mengambil konsep imagined communities yang diperkenalkan oleh Benedict Anderson, semua warga sastera masih terikat dalam suatu jaringan kebersamaan.

Iklan

Mereka mungkin tidak saling mengenali antara satu sama lain, terpisah oleh jarak dan kumpulan, namun dalam masa yang sama, mereka"berasa” sama-sama berada dalam satu dunia, iaitu dunia sastera. Natijahnya, semua warga sastera dianggap bersaudara.

Oleh hal yang demikian, apa-apa sahaja nasib yang merejam sastera akan turut dirasai oleh semua warga tersebut. Suatu rejaman yang kini menusuk kehidupan sastera ialah pandemik Covid-19. Pada tahap awal pandemik, ketika kekangan peraturan kawalan pergerakan (PKP) begitu ketat merantai kebebasan, warga sastera begitu teruji.

Buku tidak dapat dijual apabila pengunjung kedai buku tiada, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) tergalang, program hiliran yang berkaitan dengan Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2020 (KLWBC), anugerah daripada Unesco terencat. Pelbagai program yang sudah diatur bagi mengisi KLWBC terpaksa dibatalkan atau diubah format pelaksanaannya, menjadi kecil.

Iklan

Kesannya, banyak perancangan yang sudah dimodali terpaksa terbuang begitu sahaja. Banyak kerugian terpaksa ditanggung.

Perubahan

Namun begitu, warga sastera Malaysia sangat unik. Walaupun menerima ujian lantaran"hentakan” iklim politik yang sering berubah, mereka dapat menyesuaikan diri dengan kelaziman baharu. Mereka mula merancang strategi baharu bagi meneruskan kelangsungan hayat.

Pelbagai perubahan cara berhimpun, berkomunikasi, dan berdagang telah diamalkan melalui kecanggihan teknologi maklumat. Bukan sahaja program antara warga tempatan dilaksanakan, malahan perhimpunan secara maya pada tahap antarabangsa juga giat berlangsung.

Pada pedagang buku pula bergerak secara maya; dan jika mereka aktif, perdagangan secara maya itu lebih menguntungkan.

Dunia penerbitan buku juga beransur mendapat nafas baharu, malah lebih rancak apabila komunikasi antara penulis dengan pengendali projek penerbitan semakin aktif berlaku.

Kini, warga sastera sudah semakin besar jumlahnya apabila padang permainan mereka bukan lagi dalam format fizikal yang tentu sahaja sangat sempit saiznya; sebaliknya padang mereka sudah membesar dalam dunia maya. Lupakan soal status atau gred penulis.

Semua orang sudah menjadi penulis, dan terserah kepada mereka untuk memajukan diri dengan mempertingkat mutu penulisan. Jika tidak diberi peluang, manakan dapat penulis baharu memunculkan diri dalam persaingan dengan penulis mapan.

Percayalah, para penulis baru akan beransur-ansur membesar sebagai penulis yang bagus sekiranya mereka tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian semasa. Mereka akan mampu mencapai tahap yang tinggi sekiranya tidak terpesona dengan jerangkap megalomania, yakni mengagumi diri sendiri.

Dalam konteks KLWBC, ada satu perkara yang wajar diberi perhatian oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menjadi punca kuasanya. Tempoh status KLWBC akan berakhir pada April 2021. Ini bermakna, sekretariatnya akan dibubarkan. Persoalannya: Apakah susulannya selepas itu?

Sejak menerima watikahnya daripada Ketua Pengarah Unesco, Audrey Azoulay pada 19 September 2018, projek mengimarahkan KLWBC telah digerakkan dengan giat dan banyak prasarana tentang perbukuan diwujudkan.

Pejabat Sekretariat KLWBC di No. 10 dan 11, Jalan Tangsi, Kuala Lumpur serta River of Life di tepi Masjid Jamek, sudah memperlihat kewujudannya di mata warga Kuala Lumpur.

Papan-papan tanda KLWBC dan kotak buku telah tersedia di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya. Pendeknya, warga Kuala Lumpur sudah bermesra dengan suasana dan"rasa” ini, walaupun dalam kadar yang minimum.

Lebih penting daripada itu, kesedaran tentang perlunya Kuala Lumpur terus hidup sebagai Kota Sastera (namakan apa-apa saja) tentulah sudah bercambah dalam minda pentadbir DBKL. Para pegawai dan peneraju DBKL sudah bersahabat dengan buku dan memahami peri pentingnya buku dalam kehidupan masyarakat Kuala Lumpur.

Oleh itu, alangkah ruginya jika dengan berakhirnya status KLWBC maka akan berhenti segala-galanya sedangkan prasarana sudah tersedia dan"sungai” kesedaran telah mengalir.

Seandainya sungai itu ditimbus, ke manakah hilangnya modal besar yang telah dilaburkan? Adakah para pegawai yang sudah bersahabat dengan roh buku akan melupakan semua kenangan itu?

Oleh itu, pihak DBKL perlu terus menghidupkan Kuala Lumpur sebagai kota budaya yang berkaitan dengan kesusasteraan, perbukuan, dan percambahan intelektualiti. Kota metropolitan dan kosmopolitan ini perlu diberi roh kemanusiaan, intelektualiti, serta budaya murni.

Satu daripada laluannya adalah dengan menghidupkan aktiviti kesusasteraan, perbukuan, teater, dan sebagainya. Usaha ini memerlukan iltizam politik daripada Menteri Wilayah Persekutuan, khususnya, dan sokongan daripada Perdana Menteri.

Landskap politik negara ini sentiasa digegar gempa politik yang akan mengubah kedudukan pemegang kuasanya. Tetapi jika ketetapan segera dibuat, perubahan politik tidak akan mengubah perancangan.

Kota ini tidak boleh dibiarkan berdiri sebagai sebuah kota yang hanya sarat dengan kegiatan ekonomi, hiburan, kebanjiran warga asing, tetapi mesti hidup dengan roh ilmu. Warga Kuala Lumpur memerlukan suasana yang lebih baik untuk hidup sebagai manusia yang berbudaya tinggi.

*Dr Mohamad Saleeh Rahamad ialah Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Malaya