Nampaknya kerajaan Tan Sri Perdana Menteri kena jawab mengapa Malaysia bayar begitu banyak untuk dapatkan vaksin Covid-19 dari syarikat raksasa Amerika Syarikat (AS), Pfizer.
Dengarnya kerajaan bayar RM3 bilion untuk pembelian 10 juta dos vaksin itu. Ada yang buat bandingan, negara Belgium bayar bersamaan RM1 bilion sahaja tapi untuk 33 juta dos vaksin yang sama.
Iklan
Iklan
Kenapa harga yang kita akan bayar jauh, jauh, jauh (ulang tiga kali) lebih tinggi daripada yang dibayar oleh Belgium? Sedangkan vaksin itu datang dari pembekal atau pembuat yang sama.
Awang tak pandai hal-hal begini, tapi itulah yang hangat diperkatakan sekarang. Tapi kalau betul kita bayar 20 kali ganda lebih mahal daripada yang dibayar oleh Belgium, patut sangatlah Menteri bertanggungjawab jelaskan.
Bila orang bangkitkan kenapa kita dapat vaksin itu lebih lambat daripada Singapura, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi kata, sebab Singapura buat perjanjian jual beli awal.
Kata beliau, ‘kemampuan kewangan Singapura lebih besar.’ Begitulah kira-kira terjemahan apa yang Khairy Jamaluddin kata.
Katanya, kita ambil masa sebab nak dapat ‘deal’ terbaik. Soalan rakyat ialah apakah harga RM3 bilion untuk 10 juta dos itu ‘deal’ terbaik? Apakah kita dapat ‘deal’ yang lebih baik daripada Belgium? Awang harap Khairy kena telus dalam soal ini. Tak usahlah nak berselindung di sebalik perjanjian kerahsiaan atau NDA, sebab ini soal kepentingan awam.