Misi LPP tingkat hasil

Iklan
Nik Muhammad Zawawi ketika mengadakan lawatan ke kebun sayur yang diusahakan oleh peladang LPP. - FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR

LEMBAGA Pertubuhan Peladang (LPP) komited menjadi agensi kerajaan yang mampu mengeluarkan makanan yang mencukupi kepada negara, sekaligus menjadikan negara sebagai pengeksport makanan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pengerusinya, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, beliau optimis sasaran itu dapat dicapai kerana didorong oleh tindakan kerajaan yang berusaha memastikan pengeluaran hasil tanaman dan penggunaan pelbagai mekanisme serta automasi yang mampu meningkatkan hasil pertanian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia termasuk menyediakan kemudahan infrastruktur seperti sistem pengairan dan saliran, teknologi yang bersesuaian dan sebagainya.

Katanya, beliau mahu peladang bangkit untuk menjadikan LPP sebagai organisasi yang mampu membangunkan ahli yang berdikari ke arah kemajuan ekonomi sehingga mampu berdiri tanpa bantuan dan subsidi daripada kerajaan.

Iklan

"Kalau kita lihat keadaan di rantau ASEAN, negara-negara jiran memberi nilai bantuan dan subsidi yang sangat kecil tetapi masyarakat peladang mereka mampu mengeluarkan pertanian lebih baik berbanding dengan hasil pertanian di negara kita.

"Saya merasakan sudah tiba masanya masyarakat peladang kita dapat menjadikan situasi itu sebagai cabaran untuk meningkatkan kualiti dan jumlah penghasilan pertanian negara kita,” katanya.

Iklan
Nik Muhammad Zawawi Salleh - FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR

Nik Muhammad Zawawi berkata, kerajaan juga begitu komited menyediakan prasarana yang baik untuk pertanian.

"Kami berkeyakinan tinggi bahawa petani akan menyambut baik kemudahan yang diberikan kepada mereka dan akan bekerja keras. Pada masa yang sama menjadikan pertanian sebagai perniagaan.

"Sekiranya negara mempunyai bekalan makanan yang mencukupi, kita tidak lagi perlu mengimport makanan dari negara lain,” katanya.

Pada tahun 2021, LPP menyasarkan menjadi sebagai institusi berdaya saing dalam sektor agromakanan, meningkatkan pengeluaran agromakanan melalui penguasaan rantaian nilai dan khidmat sokongan serta meningkatkan kesejahteraan sosio ekonomi ahli peladang dan usahawan peladang.

RM311.27 juta kepada LPP dalam RMK12

Nik Muhammad Zawawi berkata, sebanyak RM311.27 juta diperuntukkan kepada LPP dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) melibatkan 18 program yang akan memacu melahirkan usahawan peladang yang berjaya.

Menurutnya, peruntukan tersebut akan melibatkan empat bahagian iaitu pengeluaran, mekanisasi dan automasi, padi dan beras dan pembangunan usahawan peladang. Nik Muhammad Zawawi berkata, tahun 2021 adalah fasa meningkatkan pengeluaran makanan.

"Dalam Belanjawan 2021, fokus kerajaan adalah memperkasakan sektor pertanian dan industri makanan supaya memberi manfaat kepada peladang, penternak dan nelayan.

"Kerajaan telah mengumumkan peruntukan kepada peladang, penternak dan nelayan terutamanya melibatkan sektor komoditi tanaman padi yang memberi manfaat kepada petani dan ahli peladang merangkumi peruntukan berjumlah RM RM570 juta untuk Skim Subsidi Harga Padi (SSHP),” katanya.

Nik Muhammad Zawawi mencuba jentera untuk melakukan proses penanaman padi. - FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR

Menurutnya, sebanyak RM960 juta diperuntukkan untuk Skim Subsidi Baja dan Insentif Pengeluaran Padi serta pemberian sebanyak RM40 juta diteruskan bagi penerima Subsidi Baja Padi Bukit di Sabah dan Sarawak yang bakal dimanfaatkan oleh seramai lebih 300,000 orang penerima.

"Selain memberi fokus kepada tanaman padi, kerajaan juga memfokuskan kepada pengeluaran hasil pertanian seperti pelaksanaan projek pertanian organik, program ladang e-satelit, program modenisasi rantaian nilai agromakanan dan kebun komuniti.

"Kerajaan juga memfokuskan pelaksanaan projek pertanian dan penternakan berimpak serta bernilai tinggi, pengembangan akuakultur dan program pemodenan vessel dan mekanisasi tangkapan,” katanya.

Katanya, LPP melihat dua inisiatif utama iaitu projek pertanian organik yang berjumlah RM50 juta dan program ladang e-satelit berjumlah RM10 juta sebagai berita gembira kepada LPP dan keseluruhan masyarakat peladang yang berjumlah hampir 930,000 orang.

"LPP berterima kasih kepada keprihatinan kerajaan membantu meringankan beban masyarakat peladang dalam Belanjawan 2021. Masyarakat peladang akan bersama-sama LPP merealisasikan matlamat kerajaan untuk membangunkan masyarakat peladang, penternak dan nelayan,” katanya.

Nik Muhammad Zawawi (dua dari kiri) melihat penanaman nanas. - FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR