Main kayu tiga bukan konspirasi? Mohd Puad balas teguran Takiyuddin

Iklan
Tangkap layar Facebook Mohd Puad.

SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membalas teguran Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dengan pertanyaan mengenai hubungan politik Pas dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

Mohd Puad mempersoalkan apakah 'main kayu tiga bukan konspirasi' yang menurutnya, persoalan itu sepatutnya perlu dijawab oleh Takiyuddin.

Iklan
Iklan

Takiyuddin sebelum ini membangkitkan isu 'legasi paling murni seorang pemimpin sejati' di Twitternya yang merujuk kepada saranan beliau supaya Ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

"Kenyataan seperti itu sepatutnya PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) yang komen tetapi Setiausaha Agung Pas pula yang berbunyi,” bidas Mohd Puad di Facebooknya pada Ahad.

Iklan

Mohd Puad berkata, menurut Takiyuddin, legasi paling murni apabila pemimpin mempertahankan perpaduan dan perkara itu perlu berasaskan kejujuran.

"Jika tidak, ia dikatakan konspirasi. Tidak pasti siapa pemimpin legasi yang Takiyuddin maksudkan. Tidak mungkin saya. Saya hanya ahli politik biasa yang bersuara ikut 'hati nurani' saya,” kata Puad.

Iklan

Mohd Puad juga tidak fikir cadangan supaya menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri membawa kepada perpecahan.

"Ini untuk rakyat, kerana janji memudahkan rakyat tidak dipenuhi. Apabila Pas berkawan dengan DAP, apakah itu perpecahan Melayu? Apabila Pas berpisah dengan DAP, ia juga tidak dianggap sebagai perpecahan masyarakat dan negara.

"Peluang penyatuan terbesar ialah apabila UMNO-Pas tandatangan Piagam Muafakat Nasional. Peluang itu akan terlepas begitu sahaja kerana banyak sangat pakatan, gagasan dan gabungan yang mahu disertai.

"Takiyuddin adalah betul dalam soal kejujuran politik. Tanpa kejujuran politik Ia adalah konspirasi,” kata Mohd Puad.

Katanya lagi, sebenarnya Ahli Parlimen UMNO sudah bersikap jujur kerana menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri walaupun beliau didakwa terlibat dalam konspirasi menjatuhkan UMNO di Pilihan Raya Umum ke-14.

Bahkan katanya, bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak juga membuat kenyataan jujur dan terbuka mengenai 'sokongan bersyarat' terhadap Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

"Datuk Seri Najib juga secara jujur membuat kenyataan terbuka, jika tiada perubahan dan kerajaan Perikatan Nasional terus berdolak dalik selepas satu tempoh yang munasabah, Barisan Nasional masih ada cara untuk bertindak.

"Semua itu terbuka. Tiada sembunyi-sembunyi. Pas mungkin selesa kerana dalam PN dan MN tiada Amanah (Parti Amanah Negara). Tiada siapa kacau.

Justeru, yang perlu Takiyuddin jawab ialah, apakah main kayu tiga bukan konspirasi?," soal Mohd Puad.

Sebelum ini, Takiyuddin menegur Mohd Puad supaya mempertahankan penyatuan dan perpaduan dalam masyarakat dan negara.

Takiyuddin berkata, legasi paling murni bagi seorang pemimpin sejati ialah merangka dan mempertahankan penyatuan dan perpaduan dalam masyarakat dan negaranya.