MELAKA - Isu pekebun durian di Raub, Pahang tidak akan menjejaskan pengeluaran dan penghasilan raja buah itu terutamanya jenis Musang King bagi pasaran dan eksport ke luar negara, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah.
Menurutnya, masih terdapat beberapa ladang lain di negara ini menanam durian Musang King dan mampu menampung permintaan terhadap buah yang mendapat sambutan hebat termasuk yang diproses dan disejuk beku.
"Apa yang paling penting setiap pekebun durian perlu mengikut prosedur dengan berdaftar dan lulus audit fasiliti serta ladang, selain perlu memperoleh Sijil Amalan Pengilangan Baik (GMP) bagi memastikan durian yang dihasilkan berkualiti dan bermutu tinggi.
"Syarat lain iaitu pokok durian yang ditanam adalah di atas tanah pemilikan sendiri atau disewa pajak serta disahkan perjanjian tersebut manakala bagi tanah yang diterokai tidak layak,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Promosi Perniagaan Kecil Tempatan Negeri Melaka di sini pada Ahad.
Pada 23 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan 204 pekebun durian Musang King di Raub untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman, terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan Pahang.
ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah tolak permohonan pekebun durian Raub
Permohonan itu dibuat selepas kerajaan Pahang mula mengambil tindakan terhadap pekebun yang didakwa mengusahakan kebun durian secara haram di sekitar Raub pada awal Ogos sehingga menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri, selain isu pencemaran air.
Sementara itu, Ahmad berkata, seramai 44 usahawan mengambil bahagian dalam program Kempen Promosi Perniagaan Kecil Tempatan Negeri Melaka yang diadakan dengan usaha sama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan pusat beli-belah Mahkota Parade.
"Program ini bertujuan membantu usahawan memulihkan ekonomi mereka yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19,” jelasnya. - Bernama