Sultan Kedah kurnia sembilan set bantuan keperluan belajar

Iklan
Sultan Sallehuddin (dua dari kanan) berkenan mengurniakan sembilan set bantuan keperluan belajar kepada sekolah terpilih pada satu majlis yang diadakan di Istana Anak Bukit pada Ahad. Turut berangkat Tengku Sarafudin Badlishah (kanan).

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan mengurniakan sembilan set bantuan keperluan belajar kepada sekolah terpilih dalam satu majlis di Istana Anak Bukit di sini pada Ahad.

Majlis kurniaan sumbangan itu adalah yang pertama kali diadakan dengan mengurniakan Televisyen Pintar (Smart TV), Komputer Riba dan Saluran Astro (Rancangan TVIQ dan TUTOR TV) agar sesi pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lebih menarik, interaktif serta selari dengan perkembangan semasa.

Iklan
Iklan

Sultan Sallehuddin bertitah, warga pendidik termasuk para pelajar hendaklah tabah dan terus berusaha walaupun dalam keadaan yang mencabar serta sukar ketika ini.

"Warga pendidik boleh diibaratkan sebagai lilin yang memberikan cahaya dan menerangi jiwa para pelajar dalam membentuk seorang pemimpin pada masa hadapan.

Iklan

"Penyertaan syarikat-syarikat korporat, konglomerat, pertubuhan-pertubuhan serta individu di negara ini untuk turut sama membantu warga pendidik dan para pelajar dengan memberikan bantuan dalam menaiktaraf kemudahan pembelajaran bagi memastikan sesi pembelajaran dapat dilaksanakan secara atas talian," titah baginda.

Dalam perkembangan sama, Sultan Sallehuddin bertitah, semua sekolah yang menerima bantuan ini dapat menggunakan sepenuhnya kemudahan yang dikurniakan baginda bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Iklan

"Dengan kurniaan ini, sesi pengajaran dan pembelajaran tidak hanya terhad kepada pembelajaran secara bersemuka, malah para guru dan pelajar dapat memanfaatkan kecanggihan teknologi bagi sesi pembelajaran secara maya serta mempelajari ilmu-ilmu baharu yang dapat dicapai melalui aplikasi teknologi," titah baginda lagi.

Turut berangkat pada majlis itu, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin yang mengurniakan beg dan pakaian sekolah kepada sembilan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Kedah untuk disampaikan kepada sekolah serta pelajar yang memerlukan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Ahmad Shukri Shafie, menjunjung setinggi-tinggi kasih atas kurniaan yang tidak disangka-sangka itu.

"Kami amat terharu atas keprihatinan baginda Tuanku Sultan Kedah dan Tuanku Sultanah Kedah serta Keluarga DiRaja Baginda kerana memahami keperluan warga pendidik dan pelajar dalam meneruskan sesi pengajaran serta pembelajaran dalam situasi mencabar ini,” katanya.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim dan Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang.