KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sejumlah 327 tangkapan anggota pasukan keselamatan itu termasuk pegawai yang terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah menerusi Op Duri bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, menerusi maklumat risikan serta aduan, tangkapan itu menunjukkan trend penurunan selepas 566 individu ditahan pada tahun lepas.
Beliau berkata, antara kes penyalahgunaan dadah itu ialah membekalkan, memiliki, keputusan ujian air kencing positif dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).
"Pihak JSJN sentiasa melaksanakan pelbagai operasi termasuk Op Duri yang sebelum ini dikenali sebagai Op Blue Devil bagi mencegah penglibatan anggota dan pegawainya dengan penyalahgunaan dadah.
"Daripada jumlah itu, 18 individu ditahan kerana membekalkan dadah, 74 individu kerana memilki dadah, 225 positif air kencing sementara 10 individu melalui LLPK setakat ini tahun ini,” katanya kepada Bernama.
Tahun lepas, 40 individu ditahan kerana membekalkan dadah, 99 kerana memiliki dadah, 424 positif air ujian kencing serta tiga di bawah LLPK.
Razarudin berkata, trend penurunan tangkapan yang turut dilakukan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membuktikan bahawa PDRM tidak mengambil mudah pembabitan anggota dan pegawainya dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, sekiranya pegawai serta anggota yang ditahan tidak terlibat dalam isu integriti dan hanya mempunyai masalah disiplin diri serta dilihat tidak sesuai bertugas di JSJN, mereka akan ditukarkan bertugas di jabatan lain.
"Saya tidak boleh nafikan ada pegawai dan anggota polis yang terlibat penjualan ketum yang dilarang di bawah Akta Racun, kami ada terima laporan berhubung perkara ini,” katanya.
Tambahnya, pihaknya akan mengambil tindakan sama ada mendakwa mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat di mahkamah atau menukarkan mereka.
"Selain itu, saya kena menunjukkan teladan bahawa saya dulu betul (menjadi contoh baik kepada anak buah), baru anak buah saya tengok saya adalah ketua yang betul. Jika saya hidup bermewah-mewah, pegawai dan anggota saya akan nampak saya tidak betul dan gaji saya tidak setara dengan kehidupan mewah.
"Saya minta kepada pegawai dan anggota polis saya yang terlibat sindiket ini agar kembali ke pangkal jalan, apabila ada pegawai dan anggota yang dibuang kerja selepas berkhidmat 10 tahun, ia akan menyebabkan kerajaan mengalami kerugian berjuta ringgit,” katanya.
Ditanya mengenai tindakan terhadap semua rampasan dadah yang dilakukan PDRM beliau berkata, ia menjadi barang kes sehingga perkara itu diputuskan mahkamah.
"Apabila dadah tersebut dikembalikan kepada JSJN, JSJN akan melaksanakan pelupusan mengikut kaedah yang diluluskan Jabatan Alam Sekitar berdasarkan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
"Kebiasaannya, pelupusan dilaksanakan dengan membakar barangan terbabit dan ada syarikat dilantik Jabatan Alam Sekitar itu sendiri,” katanya.
Razarudin berkata, pelupusan dadah terbabit turut dihadiri wakil bahagian lain dalam PDRM termasuk Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard dan media. - Bernama