KOTA BHARU -"Saya masih terngiang-ngiang lagi suara Amirul minta tolong," kata Faris Amin Zulpadli, 16, salah seorang rakan mangsa yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Kelantan dekat Kampung Banggol di sini pada Ahad.
Dalam kejadian jam 6 petang itu, Amirul Mukmin Mohd Izuha, 15, dipercayai lemas ketika mandi bersama tiga lagi rakannya di sungai berkenaan.
Faris Amin berkata, jeritan rakannya itu masih kedengaran nyaring di telinganya sehingga kini dan terbayang-bayang bagaimana dia meronta.
"Ketika kejadian saya dengar dia menjerit meminta tolong, tapi pada mulanya saya ingatkan dia bergurau. Saya toleh dan melihat dia sudah tenggelam timbul.
"Saya terus pegang tangan kiri dia tetapi Amirul menepis tangan saya dalam keadaan meronta-ronta mungkin disebabkan dia terkejut.
"Saya pegang sekali lagi tapi tak boleh juga nak selamat sebab dia dah tenggelam. Ada juga penduduk cuba membantu tetapi tetap tidak berjaya,” ketika ditemui di sini pada Ahad.
Menceritakan semula detik sebelum kejadian, Faris Amin berkata, dia terlebih dahulu datang ke sungai tersebut pada jam 5.30 petang dan Amirul Mukmin menyusul setengah jam kemudian.
"Setelah setengah jam saya mandi, tiba-tiba dia datang. Pada mulanya dia hanya bermain air dengan berjalan-jalan. Selepas itu saya dengar dia menjerit,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba, Zukeri Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.12 petang.
"Seramai 15 anggota termasuk tujuh anggota Pasukan Penyelamat Di Air berkejar ke lokasi kejadian dan melakukan selaman di sekitar tempat terakhir mangsa dilihat tenggelam.
"Anggota membuat selaman di kedalaman tiga meter bagaimanapun mangsa tidak dapat dikesan memandangkan terdapat lumpur yang tebal di dasar sungai,” katanya.
Katanya, operasi ditamatkan pada jam 7 malam dan akan bersambung 8 pagi Isnin.