TAHUN 2020 yang bakal berakhir beberapa hari lagi telah banyak menguji kestabilan ekonomi dalam menghadapi pandemik yang hampir setahun melanda dunia.
Bagi mengawal pandemik daripada menular, sekatan perjalanan dan penutupan sementara operasi perniagaan terpaksa dilakukan yang mengakibatkan kejutan penawaran dan permintaan secara serentak, menyebabkan penguncupan kegiatan ekonomi.
Ia dapat dilihat melalui penurunan indeks pengeluaran pengindustrian (IPI) yang mendadak pada peringkat awal pandemik.
IPI Amerika Syarikat (AS) turun pada paras 91.26 pada April berbanding 109.18 pada bulan Januari, manakala IPI Malaysia turun 32 peratus pada April berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menganggarkan penguncupan dagangan global sebanyak 9.2 peratus.
Pasaran kerja turut terkesan. Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menganggarkan pada suku pertama, pasaran kerja global telah kehilangan sebanyak 5.6 peratus waktu bekerja bersamaan 160 juta pekerjaan sepenuh masa dan meningkat pada suku kedua kepada 17.3 peratus atau 495 juta.
Di Malaysia, kadar pengangguran pada suku kedua melonjak kepada 5.1 peratus, manakala AS merekodkan kadar pengangguran tertinggi dalam sejarah iaitu 14.7 peratus pada April 2020.
Secara keseluruhan, Covid-19 telah menyebabkan penurunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di seluruh dunia. KDNK Malaysia dan AS pada tahun ini dianggarkan pada paras -5.5 peratus dan -3.8, manakala KDNK global pada paras -4.4 peratus.
Hal itu telah memaksa kerajaan melaksanakan langkah-langkah fiskal, contohnya, CARES Act di AS bernilai AS$2.2 trilion, manakala pakej ransa-ngan ekonomi di China bernilai hampir CNY3.6 trilion.
Di Malaysia setakat ini, lima pakej rangsangan ekonomi telah dilaksanakan secara berperingkat dengan nilai keseluruhan sebanyak RM305 bilion.
Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) pula merekodkan nilai keseluruhan langkah fiskal yang dilaksanakan di setiap negara dalam menangani Covid-19 adalah sebanyak AS$11.777 trilion.
Bank-bank pusat turut melaksanakan dasar monetari dengan menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR).
People's Bank of China pada bulan Februari telah menurunkan Kadar Utama Pinjaman (LPR) setahun kepada 3.85 peratus pada April, manakala Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menurunkan kadar faedah dasar kepada 0.25 peratus pada pertengahan Mac.
Langkah yang sama juga diambil oleh Bank Negara Malaysia dengan menurunkan OPR sebanyak empat kali sehingga ke paras 1.75 peratus.
Langkah itu berjaya mengurangkan impak Covid-19 dan memberi kesan pengganda ekonomi.
Kajian yang dilakukan oleh Universiti Pennsylvania menggunakan model ramalan jangka pendek menunjukkan CARES Act berjaya mengurangkan impak pandemik kepada ekonomi AS.
Antaranya penurunan KDNK kepada 30 peratus pada suku kedua 2020 (berbanding 37 peratus tanpa CARES Act), kadar pengangguran sebanyak 11 peratus pada suku ketiga (berbanding 12 peratus tanpa CARES Act) dan mewujudkan pertambahanan peluang pekerjaan sebanyak kira-kira 1.5 juta pada suku ketiga.
Landskap pemulihan ekonomi juga dapat dilihat di Malaysia. IPI pada suku ketiga mencatatkan pertumbuhan 0.80 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Kadar pengangguran telah menurun kepada 4.7 peratus pada suku ketiga dan KDNK juga mencatatkan penurunan yang lebih perlahan pada suku ketiga iaitu pada -2.7 peratus.
Business Conditions Index (BCI) mencatatkan pemulihan 25.3 mata pada suku ketiga berbanding suku kedua, menunjukkan peningkatan tahap keyakinan pengeluar terhadap ekonomi Malaysia.
Fasa pemulihan ekonomi dijangka berterusan pada tahun 2021 kesan daripada pelaksanaan dasar fiskal dan monetari. KDNK global diunjurkan berkembang 5.2 peratus pada tahun 2021.
Ekonomi 2021 dipacu oleh dua pemangkin utama iaitu ketersediaan vaksin Covid-19 dan pembukaan ekonomi.
* Mohd Sedek Jantan ialah Ketua Jabatan Pelaburan dan Perancangan Kewangan, UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd