Transformasi menyeluruh FELCRA

Iklan
Abdul Latiff (dua dari kiri) menyampaikan replika cek Interim Keuntungan Boleh Agih 2/2020 kepada Peserta negeri Pahang di Ibu Pejabat FELCRA Berhad pada Khamis. FOTO: ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR - Ketika negara masih berdepan pandemik Covid-19, FELCRA Berhad (FELCRA) terus berusaha memperkasakan usaha komitednya mencapai tahap produktiviti yang tinggi di ladang-ladang.

Hasilnya, bayaran agihan keuntungan interim 2/2020 berjumlah RM49.57 juta untuk seramai 54,351 Peserta Projek Penyatuan dan Pemulihan (P&P) berjaya diagihkan kepada Peserta di seluruh Malaysia.

Iklan
Iklan

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, pembayaran sebanyak RM49,570,255.83 adalah untuk Mei hingga Ogos melibatkan sebanyak 519 projek.

"Tahun 2020 terbukti sangat mencabar. Covid-19 menimbulkan pelbagai rintangan dan kekangan kepada ekonomi negara terutama kepada tahap boleh niaga syarikat-syarikat tempatan.

Iklan

"Syukur kerana usaha komited pihak pengurusan FELCRA ke arah meningkatkan pembaikan, pembetulan dan penjimatan kos operasi syarikat secara menyeluruh dalam setiap tonggak perniagaannya terbukti sebagai reaksi proaktif yang baik dalam menangani dugaan ekonomi ini.

"Antara hasil usaha itu jelas terlihat dalam sektor perladangan. Walaupun dengan kekangan kekurangan pekerja penuaian mahir, FELCRA tetap berusaha mencapai tahap produktiviti yang tinggi di ladang-ladang dan memperkenalkan mekanisme serta automasi agar hasil kerja bertambah efisien dan efektif,” katanya sempena pengumuman agihan keuntungan interim 2/2020 di Wisma FELCRA di sini pada Khamis.

Iklan

Abd Latiff berkata, bayaran keuntungan bagi tempoh interim 1/2020 (Januari hingga April) berjumlah RM28.07 juta telah dibuat pada Ogos lalu kepada seramai 57,886 orang peserta melibatkan sebanyak 520 projek yang untung.

Menurutnya, jumlah agihan keuntungan bagi Mei hingga Ogos telah mencatatkan peningkatan berbanding pembayaran interim kali pertama pada Januari hingga April lalu iaitu sebanyak RM28,073,612.

"Secara keseluruhannya, pada tahun ini sebanyak RM77,643,867.83 keuntungan telah diagihkan kepada Peserta bagi interim satu dan dua.

"Insya-ALLAH, agihan keuntungan interim berjumlah hampir RM78 juta pada tahun ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada Peserta yang terkesan dengan Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, Abd Latiff berkata, kementeriannya komited membantu pengurusan FELCRA memacu transformasi ke landasan yang betul.

Beliau optimis dengan usaha yang sedang dilakukan itu melihat kepada keupayaan FELCRA mengagihkan keuntungan interim meskipun dalam suasana sukar.

"Saya yakin dan percaya, walaupun dalam suasana begini, kita masih mampu beri keuntungan interim boleh agih kali kedua dengan sokongan Peserta dan bimbingan serta kemampuan ahli lembaga pengarah,” katanya.

Beliau juga menegaskan, FELCRA perlu menceburi kepelbagaian model bisnes baharu yang berkaitan dengan pengalaman dan kemampuan syarikat serta tidak hanya bergantung kepada hasil komoditi sawit, mengambil kira 30 peratus daripada tanaman sawit tidak produktif.

Menurutnya, kerjasama Peserta selaku pemilik tanah diperlukan bagi menukar kepada tanaman lain yang lebih menguntungkan jika perlu, selain memaksimumkan operasi kilang menapis minyak sawit sebagai satu nilai tambah.

"Bagi memperkukuhkan rantaian bekalan, bukan sahaja terlibat dalam penapisan tetapi mempelbagaikan sumber tersebut menjadi produk lain yang berkualiti,” katanya.

Beliau turut menyasarkan kenaikan kadar perahan minyak (OER) negara di kilang minyak sawit melebihi 21 peratus berbanding 19.2 peratus yang dicapai FELCRA buat masa ini.

Yamani Hafez Musa

Sementara itu, Pengerusi FELCRA Berhad, Yamani Hafez Musa berkata, FELCRA akan meningkatkan lagi usaha adaptasi dan implementasi teknologi terbaik dalam setiap aliran niaganya demi menjamin kelangsungan pemain industri pertanian itu.

Menurutnya, FELCRA sentiasa mencari solusi penambahbaikan operasi demi kelangsungan niaga dan punca pendapatan bagi semua pihak.

"Adaptasi dan implementasi teknologi akan dilaksanakan sama ada di ladang milik Peserta mahupun komersial, di kilang pemprosesan, tapak pembinaan, kilang produk dan di setiap pelosok usaha niaga FELCRA Berhad.

"FELCRA Berhad akan terus gigih mencapai tahap terbaik agar setiap wang ringgit yang dilaburkan akan membuahkan keuntungan lebih baik, seterusnya dikongsi bersama semua pemegang taruh terutama Peserta projek FELCRA,” katanya.