2,500 peluang kerja untuk belia

Iklan
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (lima dari kiri) bersama wakil-wakil penerima replika cek Interim Keuntungan Boleh Agih 2/2020 dan Bantuan Sara Hidup B40 FELCRA Berhad di Ibu Pejabat FELCRA Berhad, Kuala Lumpur pada Khamis. FOTO: ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR - Sebanyak 2,500 peluang pekerjaan sebagai pakar penuaian di ladang-ladang kelapa sawit seliaan FELCRA Berhad di seluruh negara terbuka kepada golongan belia.

FELCRA Berhad dalam satu kenyataan berkata, ia bagi mengisi kekurangan tenaga kerja kurang mahir dan separuh mahir di ladang, seterusnya meningkatkan semula kapasiti pengurusan ladang.

Iklan
Iklan

"FELCRA Berhad, salah satu pemain industri dalam sektor pertanian negara turut terkesan akibat kekurangan tenaga kerja kurang mahir dan separuh mahir di ladang yang menyebabkan proses penuaian hasil ladang lewat serta memberi impak negatif ke atas tahap efisien pengurusan ladang.

"Sebagai langkah awal, sebanyak 1,000 kekosongan bagi mereka yang mempunyai pelbagai tahap pengalaman kini tersedia. Kami amat mengalu-alukan permohonan daripada generasi kedua FELCRA yang ingin bersama memajukan projek Peserta.

Iklan

"Tawaran juga terbuka kepada rakyat Malaysia yang kehilangan punca pendapatan akibat pandemik Covid-19 dan ingin memulakan kehidupan baharu sama ada di negeri asal mereka atau berhijrah ke negeri lain,” menurut kenyataan itu.

Jelas FELCRA, latihan intensif selama tiga bulan akan diberikan kepada calon yang tiada pengalaman bagi menyediakan mereka secara holistik.

Iklan

"Bagi mereka yang berpengalaman dan telah melangkaui tahap pakar penuaian, latihan dan pensijilan khusus dapat diraih demi peningkatan ilmu pengurusan, sekali gus menyediakan mereka untuk tangga kerjaya yang lebih tinggi,” kata FELCRA.

Tawaran tersebut terbuka kepada golongan muda berusia 18 hingga 45 tahun, sihat tubuh badan, mempunyai kudrat sempurna untuk bertugas dengan baik dan berkebolehan baik dalam membaca serta menulis.

Selain itu, calon juga mestilah seorang yang inginkan kemajuan diri dan komited bekerja serta mempunyai azam untuk berkembang dalam bidang pertanian melalui program-program kemahiran dan pengurusan ladang.

Gaji asas sebanyak RM1,200 ditawarkan bagi pengambilan calon-calon pakar penuaian tanpa pengalaman, setanding dengan kadar pasaran, malah turut akan disokong dengan pelbagai elaun dan insentif produktiviti.

Bagi mereka yang telah mencapai tahap pakar penuaian, komitmen mereka dapat membawa pulang pendapatan keseluruhan melebihi RM3,000 sebulan dengan berbakti kepada tanah bersama FELCRA Berhad.

Sementara itu, seramai 1,424 orang diparol (ODP) yang terdiri daripada pelbagai etnik telah berjaya dilatih menerusi program Corporate Smart Internship (CSI) di ladang kelapa sawit milik FELCRA Berhad sehingga Oktober pada tahun ini.

Program dengan kerjasama strategik Jabatan Penjara Malaysia itu menumpukan latihan kemahiran teknikal ladang melibatkan latihan untuk berdikari dan kemahiran sosial sebagai persiapan untuk bersama masyarakat setelah tamat tempoh hukuman.

Dimulakan sejak tahun 2016, ODP telah ditawarkan elaun latihan dan insentif serta kemudahan perumahan di ladang sepanjang tempoh latihan termasuk dilindungi oleh insuran kelompok yang diuruskan oleh pihak penjara.

Malah, mereka turut ditawarkan peluang pekerjaan untuk kekal bekerja bersama FELCRA Berhad dan dilantik sebagai Pekerja Sementara (GPS) setelah tamat tempoh latihan.

Menerusi inisiatif tersebut, ia tidak hanya membantu mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja dan penggu-naan tenaga kerja asing di ladang milik FELCRA Berhad tetapi juga memberi peluang kedua bagi ODP bersama masyarakat sebagai dorongan agar mereka tidak kembali terlibat dalam kesalahan lampau.

Pada masa yang sama, program tersebut turut membantu kerajaan mengurangkan jumlah kemasukan semula ke penjara akibat daripada kesukaran mendapat pekerjaan dan disisih oleh keluarga serta masyarakat.

RM25 juta bantu Peserta projek FELCRA golongan B40

Seramai 9,950 orang Peserta projek FELCRA Berhad dalam golongan B40 boleh menarik nafas lega apabila peruntukan kerajaan di bawah Bantuan Sara Hidup (BSH) B40 berjumlah RM25 juta disalurkan.

Peruntukan skim kewangan kerajaan berbentuk pinjaman itu adalah untuk tempoh bayaran Januari sehingga Disember 2020. Kesemua penerima merupakan Peserta projek yang terlibat dalam program tanam semula.

Datuk Mohd Nasir Baba

BSH B40 adalah inisiatif pihak kerajaan bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah susulan kos sara hidup yang semakin meningkat, selain membantu meringankan beban kehidupan mereka.

Wakil Peserta B40 Felcra (Penerima BSH B40), Bahari Othman berterima kasih kepada menteri yang membantu FELCRA.

"Hampir setahun kami menanggung sengsara untuk mendapatkan pinjaman sara hidup. Terima kasih juga kepada kakitangan ibu pejabat yang menyokong untuk pembayaran ini," katanya.

Wakil Peserta Negeri Sembilan, Datuk Mohd Nasir Baba pula berkata, beliau berharap kerajaan dapat beri perhatian kepada FELCRA dengan menyuntik dana sekurang-kurangnya RM1.2 bilion untuk FELCRA lebih maju.

Sementara itu, Wakil Peserta Pahang (Generasi kedua FELCRA), Datuk Rodzuan Zaaba berkata, agihan itu membuktikan FELCRA sentiasa prihatin dan komited.

Datuk Rodzuan Zaaba

"Saya sentiasa bersama dengan pengurusan tertinggi FELCRA dan membantu rancangan yang membolehkan semua pihak dapat bekerjasama,” katanya.