KUALA TERENGGANU - Kerajaan diminta segera mendedahkan nama syarikat terlibat dalam kartel daging haram bagi menjaga kepentingan masyarakat Islam negara ini khususnya peniaga yang menggunakan daging sejuk beku import.
Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, pendedahan itu penting supaya peniaga dan masyarakat Islam dapat menukar bekalan daging mereka kepada jenama yang benar-benar halal.
"Pemuda UMNO Terengganu juga bersedia membantu kerajaan menjadi sukarelawan dalam mengenal pasti peniaga yang masih menggunakan bekalan daging haram ini seandainya nama-nama syarikat atau jenama daging haram tersebut didedahkan.
"Tindakan cepat dan pantas ini pastinya dapat meredakan keresahan umat Islam yang sudah mula hilang kepercayaan kepada daging import. Kesannya, manipulasi harga kepada daging tempatan akan berlaku kerana mendapat permintaan yang tinggi.
"Malah, peniaga-peniaga kecil berasaskan daging import juga pasti terkesan sekiranya stigma negatif ini terus berleluasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, Pemuda UMNO Terengganu juga menyokong kenyataan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki agar tindakan tegas perlu diambil oleh kerajaan terhadap kartel daging haram yang berjaya dibongkarkan.
Tengku Haphiz berkata, pihaknya turut bersetuju dengan saranan supaya pasukan khas atau Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) dibentuk bagi menyiasat perkara ini.
"Ini kerana isu ini bukan sahaja mencemarkan kesucian agama tapi turut melibatkan pengkhianatan etika apabila proses penyeludupan melibatkan rasuah di peringkat pegawai atasan kerajaan.
"Oleh itu, Pemuda UMNO Terengganu berharap kerajaan dapat membentuk jawatankuasa khas ini melibatkan pelbagai agensi sebagaimana saranan Dr Asyraf Wajdi,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda UMNO gesa kerajaan dedah syarikat seludup daging