KKM tambah 3,032 katil tampung peningkatan pesakit Covid-19

Iklan
Kerja-kerja menempatkan katil pesakit Covid-19 di PKRC MAEPS, Serdang dipergiat.

PUTRAJAYA - Selepas kadar kebolehjangkitan Covid-19 melebihi 20,000 kes, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertingkatkan keupayaan dengan menambah 3,032 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang terletak di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Timbalan Ketua Pengarah (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah katil di PKRC adalah 6,132.

Iklan
Iklan

"Pembukaan dewan baharu di MAEPS itu susulan peningkatan kes Covid-19 yang berterusan," katanya menerusi ciapan di Twitter KKM pada Isnin.

Menurutnya, kapasiti katil akan terus ditingkatkan sehingga 10,000 katil mengikut keperluan semasa.

Iklan

PKRC MAEPS 2.0 dibuka semula pada 9 Disember lalu untuk menempatkan pesakit warga asing tahap satu dan dua.

Sementara itu, menurut laporan portal MalayMail, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, individu yang disahkan positif Covid-19 terpaksa menjalani kuarantin di rumah terlebih dahulu sementara menunggu untuk dihantar ke hospital.

Iklan

Katanya, ia berikutan pihaknya sedang berdepan dengan bilangan kes yang tinggi selain isu logistik.

Sehingga Ahad, KKM merekodkan kadar kebolehjangkitan iaitu pesakit yang sedang menerima rawatan adalah 20,233 kes.

Seramai 111 individu dirawat di unit rawatan rapi dan 50 memerlukan bantuan pernafasan.