ALOR SETAR - Pemuda UMNO Kedah mencadangkan agar kerajaan melantik satu pasukan petugas khas bagi mengendalikan urusan kemasukan daging import, berbanding diurus pelbagai agensi yang berpotensi berlaku penyelewengan.
Ketua Penerangannya, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, kerajaan boleh menggabungkan pelbagai agensi terbabit sebagai satu pasukan petugas yang turut dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang bertanggungjawab dari awal sehingga daging sampai kepada pengguna.
Menurutnya, ia diyakini dapat mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap daging import, selain mengurangkan karenah birokrasi agar negara dapat mengekang peluang berlakunya ‘kebocoran’ dalam sistem.
"Kita harap kerajaan mengkaji semula sistem berkaitan daging import dan sijil halal daging import kerana ia melibatkan banyak agensi dan ini memberi ruang kepada manipulasi.
"Sekarang ini banyak agensi terbabit dalam sistem pengimportan daging seperti Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Jabatan Agama dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Syed Mohd Johan Rizal berkata, Pemuda UMNO Kedah turut menyokong gesaan pelbagai pihak yang mahu pasukan petugas khas dibentuk bagi menyiasat sindiket kartel daging import supaya individu terbabit dengan konspirasi itu diambil tindakan tegas.
"Kita juga gusar dengan pendedahan kartel itu yang meragut keyakinan umat Islam terhadap sistem pensijilan halal negara.
"Lebih parah lagi ia menjejaskan keutuhan sistem pelbagai agensi dan mendedahkan banyak kelemahan dalam tadbir urus di pelbagai peringkat agensi kerajaan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Kartel tukar daging haram jadi halal
Kartel daging haram: MCW serah memorandum
Daging import haram dijual secara online
Pihaknya turut mempersoal bagaimana kartel itu dapat beroperasi sekian lama tanpa tindakan menyebabkan pengguna meragui integriti penjawat awam yang mengendalikan urusan kemasukan daging import.
"Selain pasukan khas siasatan dibentuk segera untuk bawa dalang sindiket ke muka pengadilan, usaha juga perlu diambil untuk membebaskan elemen rasuah, salah guna kuasa dan penipuan dalam kalangan pihak terlibat,” katanya.
Terdahulu, Syed Mohd Johan Rizal bersama aktivis Johan Rakyat gabungan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Gerakan Belia 4B Alor Setar dan Kelab Belia Alor Setar mengadakan program sukarelawan baik pulih rumah di Kampung Tanjung Bendahara, di sini.
Program disertai 20 aktivis Johan Rakyat Parlimen Alor Setar ini membaik pulih dan mengecat rumah milik Shaidatul Nor Abu Hassan, selaku penerima bantuan program sukarelawan ini.
Sebelum ini, keluarga itu dibantu ahli jawatankuasa masjid, orang perseorangan dan penduduk kampung yang bergotong-royong menyiapkan rumah bernilai RM20,000 ini.