MELAKA - Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) melahirkan kekecewaan dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 dan 7 Tahun 2020 yang akan berkuat kuasa 1 Januari ini.
Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, sewajarnya perbincangan dan rundingan bersama kesatuan sekerja diadakan sebelum sebarang keputusan berhubung kedua-dua pekeliling itu dikeluarkan termasuk tidak melibatkan Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) Am, Sains dan Teknologi dan Pengurusan dan Profesional.
Dakwanya, tindakan berkenaan bertentangan dengan dasar 'tripartite' iaitu tiada dasar rundingan bersama dan hanya ditentukan atau diputuskan satu pihak sahaja sekali gus menafikan hak pekerja selain bertentangan dengan prinsip yang dipersetujui sebelum ini.
Katanya, pihaknya juga memandang serius isu tersebut dan akan mengadakan perjumpaan bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkannya dalam masa terdekat ini.
"Kita minta supaya kerajaan menarik balik pekeliling ini dan diganti dengan pekeliling baharu selepas rundingan bersama dengan Cuepacs, majlis jabatan dan sebagainya dan kita akan berjumpa PM.
"Seharusnya ada semangat perundingan bersama. Jika tidak, maka hasilnya hanya sebelah pihak," katanya.
Azih berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Tritahunan Kali Ke-27 yang dirasmikan secara maya oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau turut menyentuh mengenai jawatan Pegawai Pinjaman yang telah dimansuhkan di dalam pekeliling tersebut.
"Sedangkan sejak tahun 50an Pegawai Pinjaman telah ditempatkan, namun malangnya dalam pekeliling baharu ini jawatan itu telah dimansuhkan," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berharap kerajaan dapat memberikan peruntukan khas kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang cemerlang sebagai tanda menghargai dan terima kasih atas pencapaian mereka.
"Mudah-mudahan pencapaian mereka akan terus cemerlang dan gemilang lagi untuk tahun-tahun akan datang terutama sekali dalam menjaga kebajikan rakyat," katanya.
Dalam pada itu, pihaknya turut memilih sebanyak 17 daripada 250 PBT termasuk majlis bandaraya, majlis perbandaran dan majlis daerah untuk menerima anugerah dan penghargaan.