KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan bahawa beliau tidak pernah berhadapan dengan isu melibatkan penyeludupan kartel daging haram semasa menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Beliau berkata, kerajaan pada ketika itu mengambil maklum akan keperluan untuk memperkemaskan kawal selia industri halal di Malaysia bagi mengelakkan berlakunya isu-isu sedemikian.
"Kita tidak pernah dengar atau mendapat aduan kes seperti ini. Tetapi waktu itu lagi kita sudah merasai perlu diperkemaskan (kawal selia) dalam konteks industri halal ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis berhubung kartel penyeludupan daging import haram yang diragui status halalnya di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi pada Isnin.
Asyraf Wajdi berkata, pada masa ini terdapat sekurang-kurangnya sembilan akta yang mengawal selia urusan soal halal daripada segi pensijilan, pemprosesan, penguatkuasaan dan pendakwaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda UMNO desak tubuh pasukan khas siasat isu kartel daging
Sehubungan itu, beliau berkata, ketika ini merupakan waktu paling tepat untuk memperhalusi kembali peranan Majlis Halal Malaysia yang pernah diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Menurutnya, kewujudan badan sedemikian yang mengawal selia secara bersepadu industri halal di Malaysia dilihat mampu mengawal industri tersebut daripada sebarang salah laku.
Katanya, Majlis Halal Malaysia tersebut akan mengawal selia secara komprehensif dan bersepadu kesemua institusi dan agensi kerajaan, negeri dan swasta dalam industri halal negara.
"Dalam kajian dan penyelidikan kami pada waktu itu, sekurang-kurangnya terdapat 313 agensi dan institusi, organisasi yang terlibat dalam industri halal ini.
"Macam mana kita nak membangunkan institusi sistem halal yang mana Malaysia ini terkenal sebagai pelopor dan peneraju apabila kita terlalu banyak birokrasi. Sudah tentu akan ada lompong yang boleh membawa kepada isu-isu yang seperti mana hari ini.
"Sebab itu kita pada waktu itu sudah menjangkakan kalau kita tidak buat sesuatu untuk menyelaras semua institusi ini secara bersatu padu dan seragam,” katanya.