Laporan forensik Zulfarhan tiada kesinambungan: Saksi

Iklan
Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain

KUALA LUMPUR - Pakar perunding forensik daripada sebuah hospital kerajaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa laporan forensik ke atas Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain yang disediakan saksi terdahulu tidak menunjukkan kesinambungan bahawa 'major burn' menyebabkan kematiannya.

Dr Rohayu Shahar Adnan yang juga saksi pembelaan ke-19 berkata, laporan forensik oleh saksi pendakwaan keenam, Dr Salmah Arshad tidak menunjukkan kesinambungan kerana rumusan yang disediakan tidak disokong oleh pemeriksaan mikroskopik.

Iklan
Iklan

Sedangkan, katanya, pemerhatian sampel menggunakan kaedah itu sangat penting dalam bidang perubatan dan perlu ada dalam pemeriksaan tersebut.

"Pada pendapat saya, rumusan yang dibuat oleh pakar yang membuat pakar bedah siasat itu tidak menyatakan kesinambungan bahawa 'major burn’ yang dialami mangsa adalah 100 peratus melibatkan kematian.

Iklan

"Jika dilihat dalam pernyataan saksi sebelum ini, Dr Salmah menulis bahawa komplikasi luka lecur adalah 'hypovolemic shock' (kekurangan cecair di dalam badan), jangkitan kuman, organ penting rosak dan ketidak seimbangan elektrolit,” katanya.

Ketika disoal peguam Amer Hamzah yang mewakili tertuduh pertama dan ketiga mengenai sama ada 90 luka lecur pada Zulfarhan Osman adalah perbuatan sebanyak 90 kali atau sebaliknya, Dr Rohayu yang juga Ketua Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh berkata, terdapat tiga jawapan.

Iklan

Dr Rohayu: Pertama, 90 kali kecederaan itu betul, sudah pasti luka lecur.

Amer Hamzah: Bagaimana hendak pastikan luka lecur?

Dr Rohayu: Dalam kes ini saya tidak dapat pastikan.

Amer Hamzah: Bagaimana pula dengan jawapan kedua dan ketiga?

Dr Rohayu: Bagi jawapan kedua, Dr Salmah kata wujud luka bertindih, maka ada kemungkinan lebih 90 kali kerana luka tersebut bertindih, manakala jawapan ketiga kebarangkalian kecederaan dikenakan kurang 90 kali kerana terdapat beberapa kecederaan yang berdasarkan coraknya, bukan kecederaan akibat lecur.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa Zulfarhan sujud syukur

Kes Zulfarhan: Demo seterika wap dalam mahkamah

Zulfarhan kata 'jangan' semasa ditekap seterika

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mod Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan, manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara jam 4.45 pagi dan jam 5.45 pagi pada 22 Mei 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala Abdoul Hakeem didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 12 lagi iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti terbabit di Kem Perdana, Sungai Besi antara jam 2.30 pagi dan jam 5.30 pagi 21 Mei 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa seorang tertuduh boleh 'tengok' siapa curi komputer riba

Kes UPNM: Tiga tertuduh lihat Zulfarhan dikelilingi lebih 20 individu

'Saya bukan dalang cederakan Zulfarhan'