TONGGAK pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Aidil Zafuan Abd Radzak menyifatkan pertahanan Perak, Shahrul Saad sebagai calon paling layak untuk memenangi anugerah pemain Pertahanan Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 20.
Menurutnya, Shahrul yang memenangi anugerah berkenaan tahun lalu mampu mengekalkan status berkenaan berdasarkan kepada pencapaiannya membantu skuad The Bos Gaurus itu menamatkan saingan CIMB Liga Super 2020 pada kedudukan keempat.
Aidil yang tidak tercalon pada tahun lalu nyata melahirkan rasa gembira apabila kali ini dicalonkan, namun secara peribadi merasakan Shahrul selaku pemenang pada tahun lalu mampu mengekalkan status Pertahanan Terbaik kali ini berdasarkan pencapaiannya sebagai kapten pasukan Perak untuk menamatkan musim 2021 di tangga ke-4 CIMB Liga Super 2020.
"Secara peribadi saya rasa Shahrul layak untuk memenangi anugerah berkenaan sekali lagi pada tahun ini.
"Apa pun, saya juga tetap berpuas hati apabila turut tercalon kali ini; tetapi saya tidaklah meletakkan harapan yang tinggi kerana sebelum ini saya pernah memenanginya beberapa kali.
"Jadi kita tunggu dan lihat sahaja siapa yang betul-betul layak untuk menang; yang penting, saya nak ucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang telah membuat undian sebelum ini dan kepada mereka yang mengundi saya, saya tidak akan lupa sampai bila-bila sokongan yang diberikan ini”, katanya.
Sebelum ini, Aidil Zafuan pernah muncul selaku pemenang sebanyak empat kali bagi kategori berkenan pada ABK 2009, 2010, 2012 dan 2015.
Calon lain yang bakal merebut gelaran Pertahanan Terbaik pada tahun ini adalah Azmi Muslim (Pulau Pinang), La'Vere Corbin-Ong, Matthew Davies (JDT), Rafiuddin Roddin (Perak), Shahrul Nizam Ros Hasni (Kelantan), Shakir Hamzah (Kedah), Victor Nirennold (UiTM FC) dan Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman (Melaka).
ABK20 yang dijalankan secara virtual buat kali pertama membuka undian kepada penyokong dalam pemilihan pemenang bersama dengan pengundian juri professional yang terdiri daripada pemain, jurulatih dan media.
Undian yang telah dibuka kepada semua penyokong pada Isnin 21 Disember 2020 lalu mulai 10 pagi telah pun berakhir pada Jumaat 25 Disember 2020 pada 11.59 malam.
Keputusan semua pemenang akan diketahui majlis yang akan berlangsung secara virtual pada Rabu, 30 Disember 2020.
Sementara itu pemain tengah Selangor, Brendan Gan mengharapkan tuah memihak kepadanya untuk memenangi kategori Pemain Tengah Terbaik ABK kali ini.
Menurut Brendan, dia gembira kerana sekali lagi tercalon dalam kategori berkenaan buat kali ketiga dan kali ini bersama pasukan Selangor.
"Semestinya saya teruja apabila tercalon sekali lagi bersama-sama calon lain yang sememangnya kita tahu mempunyai nama besar dalam Liga Malaysia.
"Namun, saya tetap percaya dan berpegang kepada prinsip bahawa usaha yang keras akan membuahkan hasil yang lumayan.
"Sejak tercalon pada edisi sebelum ini sehingga sekarang membuatkan saya sentiasa ingin melakukan yang lebih baik setiap tahun dan untuk hanya mengharapkan yang terbaik untuk ABK kali ini,” katanya.
Brendan bakal bersaing bersama sembilan lagi calon lain seperti pemain JDT; Safawi Rasid, Afiq Fazail, Gonzalo Cabrera dan Leandro Velazquez, Faisal Abdul Halim, Nor Azam Abdul Azih (Pahang), Leandro dos Santos (Perak), Lee Tuck (Terengganu FC), dan Syahmi Safari (Selangor).