KUALA LUMPUR - Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) Malaysia menyifatkan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab memuat naik sebuah video yang memperlekeh dan menghina Indonesia bertujuan merosakkan hubungan akrab kedua-dua negara.
Presiden ISWAMI Malaysia, Abdul Rashid Yusof berkata, rakyat Malaysia dan Indonesia tidak seharusnya terpengaruh dengan provokasi negatif itu demi menjaga dan memelihara hubungan kedua-dua negara.
Iklan
Iklan
"ISWAMI Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan memuat naik video yang memperlekeh dan menghina Indonesia.
"ISWAMI Malaysia juga telah membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia berhubung kejadian ini dan telah memanjangkan laporan ini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tindakan mengikut lunas undang-undang negara terhadap pihak yang terlibat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pada Ahad, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia mengutuk keras tindakan provokasi negatif yang cuba menjejaskan hubungan Malaysia-Indonesia menerusi sebuah video yang menghina Indonesia dan pihak berkuasa Malaysia sedang menyiasat perkara itu.
Video tersebut dimuat naik dua minggu lepas oleh individu tidak bertanggungjawab di ruang komen di laman YouTube My Asean memaparkan lagu kebangsaan Indonesia dengan lirik disunting menghina negara itu.
Sekalipun video asal di ruang komen di YouTube berkenaan telah dipadamkan, klip itu sempat dimuat naik ke pelbagai aplikasi lain dan ditularkan di platform media sosial lain di Indonesia yang menimbulkan pelbagai komen kebencian dan kemarahan. - Bernama