RM150 juta bagi transformasi nelayan dan industri perikanan laut dalam

Iklan
Kenyataan media oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan pada Isnin.

SHAH ALAM - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM150 juta bagi perlaksanaan Program Permodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 itu dibuat bertujuan bagi mentransformasikan nelayan ke arah industri perikanan laut dalam dengan menambah baik kaedah sedia ada yang dilihat tidak lagi berdaya saing dari segi kos dan kualiti ikan.

Iklan
Iklan

MAFI dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, melalui Dana Jaminan Makanan (DJM), Program Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan akan menyediakan pembiayaan sehingga RM5 juta pada kadar 3.5 peratus bagi tempoh 10 tahun kepada nelayan Zon A dan B untuk menaiktaraf peralatan, pukat dan bot.

Menurutnya, langkah berkenaan adalah selari dengan konsep pemodenan vesel tangkapan ikan yang telah diperkenalkan oleh Jabatan Perikanan (DOF) bagi membantu golongan sasar.

Iklan

"Pemodenan vesel dengan menggunakan teknologi Revolusi Industri (IR 4.0) akan memberi satu transformasi baru dalam sektor perikanan.

"Penggunaan teknologi peralatan menangkap ikan yang moden dan mesra alam dapat membantu kecekapan pengoperasian vesel di samping dapat menjimatkan masa terutamanya vesel yang menangkap ikan di laut dalam (deep sea fishing),” katanya.

Iklan

Jelasnya, selain daripada berupaya meningkatkan jumlah pendaratan ikan bagi tujuan bekalan makanan, program tersebut juga secara langsung akan membantu nelayan untuk menjana pendapatan dan meningkatkan ekonomi serta menambah baik keselamatan mereka.

"Penggunaan mekanisasi dan automasi peralatan bagi vesel moden juga akan dapat mengurangkan kos tenaga kerja terhadap pengusaha vesel dan kebergantungan kru asing.

"Melalui program ini, pekerjaan nelayan tempatan dalam sektor perikanan dapat dikekalkan dan secara tidak langsung akan menggalakkan belia untuk menceburi industri perikanan

"Adalah menjadi hasrat DOF dan kementerian untuk melihat sektor perikanan menjadi sektor yang berdaya saing dalam masa yang sama memberi impak positif kepada ekonomi negara dan rakyat,” katanya.

Pada masa sama, MAFI memaklumkan bahawa dana pembiayaan tersebut disediakan melalui Agrobank dan Tekun Nasional dengan kerjasama dari Jabatan Perikanan Malaysia.