SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu diberi lebih kuasa terutama membabitkan soal kemasukan daging halal ke negara ini.
Ini berikutan Jakim tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan isu penyeludupan daging yang hangat diperkatakan disebabkan ia dikatakan di luar kuasa jabatan tersebut.
Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, sekiranya hanya Jakim bertanggungjawab dalam semua isu halal, ia lebih mudah dan fokus pada satu jabatan sahaja.
"Berdasarkan penerangan dan penjelasan Jakim berkaitan carta aliran berkaitan daging import ini sehingga ia berjaya masuk ke negara ini, maknanya memang ada kelemahan.
"Prosedur dan prosesnya banyak lompong dan mudah disalahgunakan.
"Selain itu, tiada mekanisme semak dan imbang untuk jejaki salah guna kuasa. Jika semak dan imbang tiada, bagaimana mahu jejak salah guna kuasa dan rasuah.
"Isu bersekongkol juga menjadi punca kegagalan untuk menjejak kes rasuah. Jadi, kena rombak semua prosedur dan proses,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.
Beliau berkata, sekiranya semua agensi terlibat dalam proses mengimport daging beku halal perlu dikekalkan, maka perlu ada semak dan imbang.
"Maka Jakim boleh menjadi agensi semak imbang tersebut. Namun Jakim juga perlu sentiasa menilai semula proses mereka supaya tidak ada ruang salah guna kuasa.
"Pemantauan penting kepada semua proses dan penjawat awam dalam agensi-agensi berkaitan. Kita tahu sekukuh mana pun proses dan prosedur, jika tiada semak dan imbang serta integriti diri, maka rasuah akan berlaku,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Gudang kartel proses daging babi
Jakim akan keluarkan senarai pengimport daging berlesen
Kartel daging: Ada pihak ciplak sijil halal Jakim
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pengamal Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Malaysia, Noorazmir Zakaria berkata, Jakim sebenarnya punyai had kuasa yang amat terhad.
"Isu ini boleh ditangani dengan memperkenalkan Akta Halal.
"Sebenarnya sudah lama kita desak kerajaan supaya percepatkan pembentangan Akta Halal. Khabarnya draf Rang Undang-Undang (RUU) Akta Halal ini sudah ada, tetapi kerajaan tidak berikan keutamaan.
"Melalui Akta Halal, pegawai Jakim yang berkaitan boleh diluaskan kuasanya dan peruntukan kewangan juga dapat diberikan untuk menambah pegawai khususnya pegawai penguat kuasa bagi memantau dengan lebih meluas produk daging yang diimport dari negara luar,” katanya.
Beliau berkata, memandangkan hal ehwal agama Islam tertakluk kepada negeri, maka kerajaan perlu turun dan memujuk negeri-negeri untuk bersama-sama merealisasikan Akta Halal.
Dalam pada itu, peguam M Hafiz Zainol Abidin berkata, berhubung isu kartel daging seperti yang didedahkan sebelum ini, Jakim tidak boleh dipeesalahkan kerana bidang kuasa mereka terhad.
"Kemungkinan penyelewengan ini berlaku di peringkat di mana daging dari luar negara diterima masuk ke Malaysia.
"Apabila sampai ke Malaysia, agensi yang bertanggungjawab melaporkan kepada Jakim tak boleh lakukan apa-apa kerana dokumen dan perakuan yang ditunjukkan kepada mereka adalah asli,” katanya.