KETIKA kedudukan pemerintahan kerajaan Pusat dilihat kurang stabil, lain pula keadaannya di Perak yang berjaya membentuk satu perubahan politik baharu di negeri itu baru-baru ini.
Selepas pelantikan Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar yang baharu, kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional telah mencapai persefahaman dengan Pakatan Harapan, sekali gus mewujudkan kerjasama politik merentasi kepartian.
Hasil sokongan dan persefahaman yang tercapai dengan parti-parti pembangkang, kerajaan negeri bersetuju memberikan pelbagai peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang untuk pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, antaranya pe-runtukan sebanyak RM200,000 kepada kesemua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak.
Ia adalah pertama kali dalam sejarah apabila kesemua 59 ADUN Perak diberi peruntukan tersebut dan ia sudah tentu dapat memberi perkhidmatan lebih baik kepada pengundi.
Selain peruntukan tersebut, kerajaan Perak juga bersetuju supaya semua ADUN diundang pada mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah, Jawatankuasa Bertindak Khas Daerah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.
Kerjasama antara kerajaan negeri dengan pembangkang dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat sememangnya disambut baik oleh semua pihak.
Politik matang yang ditunjukkan oleh kerajaan Perak dan pembangkang itu perlu dicontohi oleh kerajaan-kerajaan negeri yang lain. Masa depan rakyat sebenarnya perlu diutamakan.
Bermula pada awal tahun ini, suasana politik negara terus bergolak berikutan wujudnya pemimpin-pemimpin politik yang lebih mengejar pangkat dan kedudukan sendiri.
Sepatutnya kini sudah tiba masanya untuk kerajaan dan pembangkang berganding bahu mengetepikan cita-cita politik masing-masing, sebaliknya berusaha menyelesaikan segala masalah yang menghantui rakyat jelata.
Politik baharu Malaysia boleh bermula dari Perak, barangkali itulah sinar harapan kepada kita semua.