PENTAS Anugerah Nona Superwoman 2020 yang berlangsung baru-baru ini menjadi titik permulaan buat dua usahawan wanita hebat iaitu Nurhidayah Suhaimi dan Siti Zaharah Ismail mengambil kata sepakat untuk bekerjasama bagi memperkukuhkan perniagaan mereka.
Meskipun berlainan bidang perniagaan, ia tidak menghalang kedua-dua usahawan wanita yang berasal dari Kedah itu untuk menjalin kerjasama.
Nurhidayah yang juga pengasas Nufiya dan Siti Zaharah serta pemilik perniagaan kain pasang, Fyzara mempunyai matlamat sama iaitu untuk membantu golongan wanita khususnya suri rumah menjana pendapatan.
Lebih manis, perniagaan kedua-dua ibu muda itu turut disokong dan dijalankan bersama suami masing-masing.
Menurut Nurhidayah yang mesra dengan panggilan Yaya, kejayaan yang diraih kini tidak akan tercapai tanpa adanya sokongan dan reda suami tercinta, Muhd Fikri Ahmad Roshdi.
Katanya, produk penggalak susu ibu dan jamu yang diusahakan sejak 2018 itu terhasil atas kesusahan yang dilaluinya sebelum ini mendapat sokongan sepenuhnya daripada suami yang dikasihi itu.
"Saya bermula dari bawah dengan tiada apa-apa ketika itu. Pada awalnya produk Nufiya Milk Booster ini saya makan untuk diri sendiri dan setelah saya dapati ia berkesan, saya nekad untuk menjualnya.
"Saya nekad untuk terlibat dalam perniagaan ini kerana ingin mengubah nasib agar anak-anak saya tidak melalui kesusahan seperti mana yang saya lalui dan atas sebab itu jugalah saya hendak mengajak wanita terutamanya suri rumah untuk turut serta dalam perniagaan yang saya usahakan ini.
"Alhamdulillah, sehingga kini saya sudah mempunyai empat produk iaitu Nufiya Milk Booster yang berasaskan buah-buahan asli dan juga dalam bentuk serbuk, jamu untuk wanita dan kopi untuk lelaki,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas mengenai kejayaannya menerima Anugerah Nona Superwoman 2020, Yaya berkata, ia merupakan antara detik paling manis sepanjang terlibat dalam perniagaan berasaskan produk kesihatan itu.
Katanya, tahun ini disifatkan sebagai tahun kegemilangan buatnya apabila Nufiya turut mendapat pengiktirafan Global Halal Excellent Award 2020.
"Anugerah Nona Superwoman 2020 ini jugalah menjadi titik persahabatan yang lebih erat antara saya dan Siti Zaharah. Jadi kami mengambil pendirian dari usahawan untuk menjadi sahabat.
"Ia dengan harapan kami dapat sama-sama memperkukuhkan perniagaan dan dalam masa sama membantu lebih ramai wanita menjana pendapatan.
"Malah saya juga meletakkan sasaran untuk membantu seramai 5,000 wanita menjana pendapatan RM5,000 sebulan,” katanya yang akan turut melancarkan produk kosmetik sulung iaitu lipmate pada tahun depan.
Dalam pada itu, Siti Zaharah berkata, pengalaman dan kisah hidup sama yang dilalui Yaya dan dirinya antara faktor yang membawa mereka untuk menjalin kerjasama.
Katanya, mereka berdua sama-sama berasal dari keluarga susah dan memulakan perniagaan di tepi jalan sedar bahawa masih ramai wanita yang perlu dibantu untuk bangkit berjaya.
"Fyzara dulu hanya bermodalkan RM40. Siapa sangka dengan segala kesusahan yang dilalui ketika mula-mula berniaga kain pasang secara dalam talian.
"Insya-ALLAH, tahun depan kami akan mengeluarkan tudung dan baju kurung siap dipakai menggunakan jenama sendiri.
"Hasrat kami tidak lain iaitu untuk membantu pelanggan atau pengikut kami tampil cantik dan yakin di sisi keluarga tercinta.
"Saya juga berharap impian untuk mempunyai wisma Fyzara akan tercapai,” katanya yang kini memiliki tiga kedai.
Menurut Siti Zaharah, kewujudan jenama Fyzara itu hasil usahanya bersama suami, Mohammad Haffiz Abd Halim.
"Suami merupakan tulang belakang kepada Fyzara, tanpa ada sokongan daripada suami, tidak mungkin saya mampu berada di tahap sekarang.
"Alhamdulillah sehingga kini dia masih sentiasa berada di sisi. Malah saya juga berpandangan, untuk berjaya usahawan juga perlu mempunyai sahabat-sahabat yang positif. Alhamdulillah saya dipertemukan dengan Yaya untuk memperkukuhkan lagi perniagaan,” kata Siti Zaharah lagi.