WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) pada Isnin menyuarakan kebimbangan berhubung tindakan Arab Saudi menjatuhkan hukuman penjara ke atas seorang aktivis terkenal, Loujain al-Hathloul.
Hathloul yang berusia 31 tahun dan merupakan pembela hak-hak wanita untuk memandu di negara beraja itu dihukum penjara lima tahun dan lapan bulan oleh sebuah mahkamah kerana kesalahan jenayah berkaitan keganasan.
Bagaimanapun, sebahagian hukuman penjaranya ditangguhkan sekali gus menyebabkan dia akan dibebaskan dalam tempoh beberapa bulan.
Hathloul didapati bersalah pada Isnin kerana melakukan aktiviti yang dilarang oleh undang-undang antikeganasan, lapor portal berita prokerajaan, Sabq dan beberapa media lain yang memetik mahkamah sebagai berkata.
Ia menyatakan, mahkamah juga menangguhkan hukuman penjara selama dua tahun dan 10 bulan ke atasnya.
Adiknya, Lina al-Hathloul berkata, kakaknya itu kemungkinan dibebaskan dalam tempoh dua bulan kerana dia sudah dipenjarakan sejak Mei 2018.
Hathloul sebelum ini ditahan bersama 12 aktivis wanita pada Mei 2018 iaitu beberapa minggu sebelum Arab Saudi membenarkan kaum wanita memandu kereta selepas melarang mereka berbuat demikian selama berdekad lamanya.
Beberapa pemimpin kanan AS tidak membuat komen tentang hukuman tersebut tetapi timbalan jurucakap Jabatan Negara AS, Cale Brown berkata, Amerika bimbang dengan laporan mengenai hukumannya.
"Kami menekankan kepentingan kebebasan bersuara dan aktiviti keamanan di Arab Saudi selepas ia mencapai kemajuan dalam hak-hak wanita.Kami menantinya yang akan dibebaskan lebih awal iaitu pada tahun 2021," menurut Brown menerusi Twitter.
Jake Sullivan yang akan mengambil alih jawatan penasihat keselamatan apabila bekas Naib Presiden AS, Joe Biden menjadi Presiden negara itu pada 20 Januari tahun depan menganggap hukuman ke atas Hathloul sebagai 'tidak wajar dan bermasalah'.
"Sebagaimana kita pernah berkata, pentadbiran Biden-Harris (bakal Naib Presiden AS, Kamala Harris) akan berdiri teguh menentang pencabulan hak asasi manusia di mana sahaja ia terjadi," menurut Sullivan menerusi Twitter.
Presiden AS, Donald Trump merupakan sekutu rapat Arab Saudi sebelum ini memuji tindakan negara itu membeli senjata-senjata buatan Amerika selain berkongsi musuh dengan Iran.
Trump juga tidak bertindak keras terhadap Riyadh selepas seorang wartawan dari negara beraja tersebut yang berpangkalan di AS, Jamal Khashoggi dibunuh dan badannya dikerat di pejabat konsulat Arab Saudi di Turki ekoran kritikannya terhadap Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman.
Ketika berlakunya kemarahan berikutan pembunuhan Jamal dan kempen ketenteraan Arab Saudi di Yemen, Biden semasa kempen pilihan raya Presiden berikrar akan mengkaji semula hubungan AS dengan negara itu. - AFP