Dewan Negara bahas usul isu kartel daging haram

Iklan
Dewan Negara membenarkan usul isu kartel daging haram dibahaskan. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Dewan Negara hari ini membenarkan usul berkenaan isu kartel daging haram untuk dibahaskan.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, perkara itu akan dibahaskan mengikut Peraturan 17(1) dengan pihak pencadang dibenarkan untuk membahas tidak melebihi 30 minit dan pihak kerajaan untuk menjawab dalam tempoh yang sama

Iklan
Iklan

Menurut beliau, bagi membolehkan perkara itu ditimbangkan oleh Majlis Mesyuarat, beliau sebagai Yang Dipertua Dewan Negara hendaklah berpuas hati bahawa perkara yang dibangkitkan itu memenuhi tiga syarat iaitu bahawa perkara itu tertentu, bagi kepentingan orang ramai dan berkehendak disegerakan.

"Saya telah meneliti perkara ini, pertamanya benar perkara ini perkara tertentu, kedua didapati kepentingan orang ramai memang wujud dan terlihat ia memerlukan tindakan segera dan pengawasan selain pemahaman orang ramai perlu diberi perhatian setimpal.

Iklan

"Oleh itu saya membenarkan usul ini dibahaskan dan usul ini saya tempohkan sehingga jam 1 tengah hari ini atau mengikut kesesuaian majlis pada hari ini untuk menempatkan masa atau ruang bahasannya,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Terdahulu Senator Asmak Husin mengemukakan usul isu kartel daging haram yang menggunakan logo Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) secara salah dan berniat menipu mengikut Perkara 17 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.

Iklan

"Saya berpendapat usul ini melibatkan kepentingan orang ramai kerana ia merupakan sumber protein umat Islam yang merupakan majoriti rakyat Malaysia. Bagi masyarakat Islam, makanan halal, haram, shubhah boleh mempengaruhi ibadat, pembangunan fizikal dan keseluruhan amalan kehidupan manusia.

"Ia juga melibatkan nama baik kerajaan khususnya Jakim sebagai pengeluar logo halal yang selama ini diyakini halal dan sucinya, bukan sahaja oleh rakyat Malaysia tetapi juga dikagumi oleh masyarakat antarabangsa,” katanya.

Asmak memaklumkan rakyat juga semakin takut dan marah dengan kes ini kerana sehingga hari ini telah tular beberapa jenama yang biasa digunakan rakyat dikatakan terlibat dalam kes ini.

Telah hampir sebulan siasatan dilakukan dan rakyat menuntut supaya kerajaan menyenaraikan jenama yang terlibat atau sekurang-kurangnya apa-apa laporan awal yang boleh melegakan rakyat.

Oleh itu, beliau menuntut jawapan daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) atau pihak yang berkepentingan demi membersihkan nama baik negara dan kepentingan umat Islam di negara ini. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Kartel daging: Kerajaan janji selesai segera, kaji penubuhan RCI

Daging import haram dijual secara online

Kartel tukar daging haram jadi halal