JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka dengan sikap segelintir rakyat di daerah Mersing yang mengabaikan soal kebersihan sehingga tempat-tempat awam dipenuhi sampah sarap.
Menerusi muat naik di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda bertitah, Mersing adalah sebuah daerah pelancongan bukan sahaja menjadi tumpuan pengunjung luar negara malah ia kaya dengan keindahan alam semula jadi.
Justeru, baginda menegaskan sekiranya tabiat ini berterusan, ia akan memberi kesan negatif kepada aspek kesihatan awam.
"Saya amat sedih dengan apa yang saya lihat di beberapa kawasan yang ditinjau. Apa nak jadi dengan Mersing? Sepatutnya tempat pelancongan tetapi apabila pelancong sampai, disambut sampah.
"Tidak malukah kita jika menjemput orang ke rumah sendiri tetapi keadaannya tidak sedap mata memandang? Ubahlah perangai dan buang sikap pengotor,” titah baginda dalam muat naik berkenaan pada Selasa.
Sultan Ibrahim bertitah, Mersing perlu mencontohi daerah Muar apabila Bandar Maharani telah dinobatkan sebagai Bandar Pelancongan Terbersih ASEAN pada tahun 2018.
"Mersing mempunyai potensi yang besar untuk terus dimajukan dalam sektor eko-pelancongan dan ia juga pintu utama untuk ke pulau-pulau pelancongan sekitar.
"Saya ada pelbagai idea untuk menarik pelaburan dan kemajuan untuk sektor di Mersing tetapi rakyat juga perlu mainkan peranan menjaga kebersihan di sini. Tidak ada orang yang nak berkunjung ke tempat yang kotor,” titah baginda.
Sultan Ibrahim turut bertitah mahu pihak berkuasa tempatan menguatkuasakan kompaun secara efektif supaya rakyat lebih berdisiplin.