Ibu tunggal rugi diperdaya Love Scam

Iklan
Antara perbualan mangsa dengan suspek yang memperkenalkan diri sebagai 'Krishna'

KEMAMAN- [DIKEMASKINI] Seorang ibu tunggal berusia 44 tahun kerugian RM2,000 akibat diperdaya 'Kapten Hassan' yang dikenali di laman Instagram hanya dalam tempoh sebulan sebelum dia terjerat dengan tipu daya lelaki memperkenalkan diri sebagai juruterbang berpengkalan di United Kingdom pada Isnin (21 Disember).

Mangsa memaklumkan perkenalan mereka pada awalnya biasa sahaja tetapi pada 19 Disember lepas, dia terkejut selepas menerima panggilan daripada suspek memaklumkan yang dia sangat teruja dengan persahabatan ini walaupun hanya sebulan mengenali.

Iklan
Iklan

"Sebagai bukti keterujaan itu, suspek memberitahu yang dia hendak menghadiahkan sebuah telefon pintar berjenama kepada saya dalam tempoh terdekat ini.

"Teruja dengan hadiah yang dijanjikan, saya terus bersetuju tanpa memikirkan risiko yang bakal berlaku.

Iklan

"Keesokan (20 Disember) saya ada menerima resit bukti pengiriman barang sebanyak 12 kotak termasuk telefon yang dijanjikan. Kesemua barang tersebut dijangka tiba di Malaysia pada 21 Disember," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.

Jelas mangsa, pada jam 8.17 pagi ( 21 Disember) dia ada menerima pesanan WhatsApp daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai 'Krishna' yang mengaku sebagai ejen kurier udara yang mengurus pelepasan barangan bercukai kastam meminta resit penghantaran sebagai pengesahan.

Iklan

"Dua jam kemudian, Krishna menghantar video menunjukkan 12 kotak yang dikirim telah diperiksa oleh kastam dan satu daripada kotak tersebut telah terbuka dan telah diperiksa yang mengandungi wang tunai dalam jumlah yang banyak.

"Krishna meminta saya membuat pembayaran sebanyak RM2,000 ke dalam nombor akaun sebuah bank yang diberikan dengan alasan caj denda dikenakan kastam.

"Tanpa berfikir panjang, saya terus membuat dua transaksi pindahan wang ke akaun bank yang diberikan dengan transaksi kali pertama sebanyak RM1,500 dan transaksi kedua sebanyak RM500.

"Selesai membuat bayaran seperti yang diminta, Krishna meminta saya membuat pembayaran lagi sebanyak RM5,000 bagi membayar denda tambahan dan saya mula curiga sebelum menghubungi rakan yang bekerja dengan Jabatan Kastam agar menyemak 'tracking number' yang diberi untuk kepastian," katanya.

Katanya, dia tergamam selepas diberitahu 'tracking number' diberi adalah palsu sebelum menghubungi suspek memaklumkan tidak berminat dengan barangan tersebut dan memohon suspek kembalikan duit yang diberikan sebelum ini.

"Bagaimanapun, dia meminta saya membeli kad judi dalam talian sebanyak RM1,000 tetapi saya tidak mahu.

"Sebaik saya menolak pembelian kad judi tersebut, suspek dan Krishna terus menyekat saya daripada mengikuti laman Instagram dan WhatsApp mereka," katanya.

Mangsa mengambil keputusan tidak membuat laporan polis tetapi bersedia berkongsi pengalaman menimpanya di dalam media sebagai satu peringatan kepada orang ramai agar sentiasa berhati-hati dengan kenalan di media sosial yang tidak dikenali agar tidak menjadi mangsa seperti apa yang berlaku ke atas dirinya.