BUTTERWORTH - Sebuah tongkang yang membawa sisa kacang soya disita oleh Pasukan Polis Marin Wilayah 1 selepas didapati diletakkan di kawasan Jeti Sungai Perai, petang semalam.
Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Superintendan Dimin Awang berkata, tongkang tersebut, Barge SSM 01 didapati sedang terikat pada jeti tersebut pada jam 5.30 petang semalam.
Menurutnya, tongkang itu ditemui ketika empat anggota Pasukan Polis Marin Wilayah 1 sedang membuat rondaan di lokasi terbabit.
"Jika dilihat dari jauh, sisa kacang soya ini seperti pasir namun hasil pemeriksaan lanjut, kita mendapati ia sebenarnya sisa kacang soya yang mengeluarkan bau yang sangat busuk.
"Berat keseluruhan sisa ini adalah 155 tan dan dipercayai dibawa dari Argentina menerusi perairan Pulau Pinang. Ia untuk diproses dan dijual semula sebagai bahan makanan haiwan ternakan," katanya kepada media di sini tadi.
Tambahnya, sisa kacang soya dan tongkang yang bernilai RM250,000 itu dirampas kerana didapati tiada sebarang dokumen permit import bagi produk terbabit.
"Semakan mendapati, ejen tongkang itu gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit import barangan ini dari pihak pertanian. Ejen itu juga mendakwa, bahan tersebut adalah untuk tujuan pelupusan.
"Bagaimanapun, ia dipercayai akan diproses semula dan dijual sebagai bahan makanan haiwan ternakan. Setakat ini, tiada tangkapan dibuat namun siasatan masih diteruskan," katanya.
Dimin berkata, lesen tongkang terbabit juga didapati sudah tamat tempoh.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 dan Seksyen 472(2) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
"Semua barang rampasan terbabit diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia negeri untuk tindakan lanjut," katanya.