Tak serik, lelaki miliki 22 rekod lampau dicekup mencuri

Iklan
Foto 123RF

SLIM RIVER - Seorang lelaki tidak sempat merasa wang jualan barangan yang dicurinya apabila dia ditahan polis kurang lapan jam selepas melakukan kegiatan itu di sebuah kedai besi dan kimpalan di sini awal pagi Isnin.

Lelaki berusia 42 tahun yang merupakan bekas tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) itu dikesan memecah masuk kedai terbabit sekitar jam 1.30 pagi.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, perbuatannnya disedari pemilik premis yang melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menerusi telefon bimbit sebelum membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, rakaman CCTV itu menunjukkan suspek yang pernah bekerja di situ telah memotong mangga kunci dan memecah masuk kedai berkenaan.

Iklan

Menurutnya, pemeriksaan mendapati suspek membawa lari beberapa barangan; antaranya mesin dan kabel kimpalan, gerudi, wayar tembaga, 'sleeve anchors', 'inox', 'angle grinder', mesin bulat mata grinder, mata gerudi dan besi.

"Berdasarkan maklumat diperoleh itu, polis berjaya menjejaki dan menangkap suspek di sebuah rumah di Bandar Baru Slim River pada jam 8.45 pagi pada hari yang sama.

Iklan

"Semua barangan yang dicuri juga dapat dirampas semula. Suspek meletakkan sebahagian barangan dicuri itu di rumah berkenaan, manakala sebahagian lagi disorok di sebuah rumah lain yang berdekatan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, tindakan pantas polis menyebabkan suspek tidak sempat menjual semua barangan yang dicuri itu.

Menurutnya, semakan turut mendapati lelaki terbabit mempunyai 22 rekod lampau pelbagai kesalahan dan pernah dihukum.

"Suspek telah direman selama empat hari sehingga 1 Januari depan bagi siasatan kes di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.