PENGENDALI West Brom Sam Allardyce menggesa pihak Liga Perdana (PL) mengambil tindakan drastik dengan menghentikan seketika saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) berikutan peningkatan mendadak kes-kes Covid 19 ketika ini.
Menurut pengendali veteran itu, peningkatan mendadak kes-kes berkenaan terutamanya dalam kalangan pemain beberapa pasukan dilihat agak membimbangkan kerana ia mampu mengancam keselamatan orang ramai.
"Sebelum ini saya begitu prihatin tentang diri saya dan juga sukan bola sepak secara keseluruhannya.
"Bagaimanapun, kini keprihatinan saya lebih kepada keselamatan semua pihak kerana berdasarkan kepada laporan berita, virus berkenaan kini lebih cepat tersebar berbanding sebelumnya.
"Kita hanya mampu melakukan satu perkara iaitu menghentikan seketika saingan EPL,” katanya setelah menyaksikan skuad kendaliannya tewas 0-5 kepada Leeds United di The Hawthorns pada awal pagi Rabu.
Setakat ini sebanyak 18 kes Covid-19 dilaporkan berlaku pada Selasa berikutan penangguhan aksi Everton dan Manchester City berikutan beberapa pemain City dilaporkan positif Covid-19.
Sementara itu pengendali Wolves, Nuno Espirito Santo turut menyokong gesaan Allardyce dan berharap ia dapat dilaksanakan sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Katanya, setakat ini sebanyak tujuh perlawanan di liga bawahan, League One telah ditunda pada Selasa berikutan peningkatan kes-kes Covid-19.
"Peningkatan ketara kes-kes Covid-19 ini didapati telah berlaku di seluruh negara dan sukan bola sepak ini bukanlah satu pengecualian terhadap peningkatan berkenaan.
"Ada perkara yang sukar untuk kita atasi dan sekiranya EPL dihentikan seketika,orang ramai boleh bertenang dan melihat perkembangan seterusnya,” katanya.