PUCHONG - Kuan Chee Heng yang mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas pada PRK DUN Semenyih Mac ini, akan membuka tabung khas dikenali sebagai ‘Tabung Marhaen’ bagi membantu kos kempennya sepanjang PRK nanti.
Chee Heng yang turut dikenali sebagai Uncle Kentang berkata, akan meminta sumbangan sebanyak 50 sen daripada pengikut di akaun Facebook miliknya untuk tujuan tersebut.
Beliau yang mempunyai hampir 412,000 pengikut di Facebook berkata, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan dan pemimpin politik sudah menawarkan diri untuk berkempen dengannya nanti.
"Saya tak sangka dan terkejut dengan sambutan orang ramai selepas umum nak bertanding sebagai calon bebas. Biasanya calon bebas tak akan menang punya.... tapi saya yakin akan menang.... menang sorak.
"Setakat ni memang saya tak ditaja sesiapa lagi, cuma saya akan buka tabung dan minta pengikut yang sokong sumbang 50 sen seorang untuk bantu kos kempen.
"Saya bukan nak belanja banyak pun, cukup-cukup untuk kempen saja, jadi kos ni kita tong-tong lah dengan bantuan orang ramai, kalau tak cukup tak mengapa saya masih ada duit simpanan sikit-sikit,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Chee Heng berkata, selepas pengumuman dibuat untuk menjadi calon, telefonnya tidak henti-henti menerima panggilan daripada pelbagai pihak.
Tidak menafikan ada yang mengkritik dengan hasratnya itu, Chee Heng berkata, dia tetap nekad membawa suara rakyat marhaen.
"Ramai call (hubungi) saya nak jadi pengurus kempen, bodyguard dan macam-macam lagi. Ada juga yang sanggup nak ambil cuti bantu saya kempen.
"Yang kritik pun tak kurang juga, mereka tak mahu saya masuk politik tapi ramai juga yang minta sangat saya teruskan hasrat bertanding.
"Saya memang tak jangka sambutan sebegini cuma itulah ini hanya di media sosial, ia hanya terbukti nanti di peti undi,” katanya.
Chee Heng berkata, beliau sudah mula turun ke Semenyih untuk bertemu penduduk dan menyuarakan hasrat membantu rakyat.
Katanya, ramai juga rakyat Semenyih menyokong hasratnya dan ada yang menghubungi meminta dia datang bertemu mereka.
"Kalau saya tunjuk telefon dekat kamu (wartawan) pasti kamu terkejut, terlalu banyak mesej diterima sokong saya.
"Tapi bagi saya kalau kalah pun tak apa, asalkan suara rakyat marhaen dapat didengari,” katanya.