KEMAMAN - Seorang wanita berstatus janda bersama kekasihnya dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah, di sini pada Rabu.
Wanita yang tidak bekerja berusia 22 tahun dan pasangannya yang berstatus duda berusia 34 tahun itu turut berdepan hukuman penjara dua bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Keputusan dibuat Hakim Syarie, Mohd Fakhruddin Yusof selepas pasangan tersebut mengaku salah atas pertuduhan mengikut Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.
Mereka mengaku salah melakukan kesalahan tersebut di sebuah bilik tidak bernombor di Permint Bandar Baru Kerteh, di sini lebih kurang jam 1.10 pagi, pada 13 Februari dua tahun lepas.
Mengikut fakta kes, bertindak atas maklumat, sekumpulan penguat kuasa Syariah Kemaman melaksanakan pemeriksaan berwaran di lokasi dan semasa sampai di hadapan pintu bilik berkenaan didapati keadaan di luar bilik gelap.
Anggota mengetuk pintu dan memberi salam beberapa kali sebelum mendapati pintu tidak berkunci dan terus bertindak menolaknya.
Hasil pemeriksaan di dalam bilik menjumpai seorang perempuan dan seorang lelaki berada di dalamnya. Hasil soal siasat, mereka berdua mengaku bukan suami isteri atau mahram.
Terdahulu dalam penghakimannya, Mohd Fakhruddin berkata, pesalah wanita dilihat tidak pernah serik kerana masih mengulangi kesalahan berulang iaitu kali pertama pada 2017.
"Kali kedua pula pada 2018 (kes hari ini) yang mana kamu tidak hadir dan lari daripada hadir ke mahkamah seperti diarahkan sehinggalah kamu ditangkap lagi ketika melakukan perbuatan tidak bermoral, baru-baru ini.
"Kamu ada anak sepatutnya jagalah anak dan tunjukkan contoh teladan yang baik kepada mereka," katanya.
Beliau berkata, kesalahan kali ketiga pula dilakukan pesalah wanita itu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang merupakan satu tempoh amaran dan ujian ALLAH untuk manusia.
"Sepatutnya kamu semakin takut lagi-lagi untuk melakukan maksiat dalam tempoh sebegini.
"Saya berharap dengan hukuman dibuat ini menjadikan masyarakat gerun dan takut untuk mendekati maksiat yang mendatangkan bala kepada seluruh ummah," katanya tegas.
Pendakwaan kes dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie, Mustafar Hamzah.