KOTA BHARU - Seorang penolong pengurus cawangan pasar raya sebuah koperasi berdepan 116 pertuduhan pecah amanah di Mahkamah Sesyen di sini Rabu hari ini membabitkan wang tunai hasil jualan berjumlah RM364,913.50.
Tertuduh, Saifulamirullah Saudi, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai seorang penolong pengurus cawangan pasar raya koperasi di Pasir Tumboh di sini yang diamanahkan untuk mendepositkan wang hasil jualan harian berjumlah RM364,913.50 ke dalam akaun bank majikannya atas nama koperasi, bagaimanapun melakukan pecah amanah jenayah iaitu dengan curangnya menyalahgunakan harta tersebut dengan tidak mendepositkan keseluruhan wang tersebut.
Kesalahan didakwa dilakukan bermula antara 9 Oktober tahun lalu sehingga 5 September lalu.
Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun sehingga 14 tahun dan dengan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya negeri, Abu Arsalnaa Zainal Abidin dan Mohd Faizuan Sulaiman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ahmad Bazli kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 31 Januari tahun depan.