KLUANG - Jenazah empat beranak yang terkorban dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 55 Jalan Kluang - Kota Tinggi semalam, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bentong Dalam di sini.
Sebelum itu jenazah Mohd Firdaus Januri, 34; isteri, Norlia Osman, 33, dan dua anak mereka, Muhammad Adli, 6 dan Nur Dalili, 4, yang tiba dari Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, kira-kira jam 1.20 petang dibawa ke rumah keluarga mereka sebelum disembahyangkan di Masjid Kampung Bentong Dalam.
Kira-kira lebih 200 ahli keluarga, rakan-rakan arwah dan penduduk setempat datang memberi penghormatan terakhir sebelum kesemua jenazah dikebumikan di dalam suasana pilu kira-kira jam 2.45 petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.33 tengah malam tadi, kesemua mangsa menaiki Honda Civic maut di tempat kejadian selepas sebuah treler dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh kereta dinaiki empat beranak itu.
Sementara itu, bapa mangsa, Januri Rustadi, 64, berkata, beliau dan isteri, Rusinah Mohd Dimyati, 58, reda dengan kehilangan anak, menantu serta dua cucunya dan menganggap segala yang berlaku sebagai takdir perlu dihadapi dengan tabah.
"Kali terakhir pak cik jumpa mereka adalah malam semalam (kelmarin) sebelum mereka bertolak untuk balik ke Kota Tinggi selepas dua hari mereka bercuti di sini (kampung).
"Pak cik dan isteri hanya tahu mengenai kemalangan ini kira-kira jam 11 malam. Kami sekeluarga terus ke hospital dan memang tak sangka kerana kejadian ini berlaku tiba-tiba dan kami kehilangan empat ahli keluarga sekali gus," katanya.
Menurutnya, sepanjang dua hari kesemua mangsa di kampung, tiada sebarang perubahan yang ditunjukkan.
"Pak cik ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu melancarkan urusan pengebumian anak, menantu serta dua cucu," katanya.