Dua anggota polis ditahan lakukan pemerasan

Iklan
Antara barangan yang dirampas susulan tertangkapnya dua anggota polis di Sri Hartamas, Kuala Lumpur pada 24 Disember kerana melakukan pemerasan.

PETALING JAYA - Dua anggota polis ditahan di Sri Hartamas, Kuala Lumpur pada 24 Disember lalu dipercayai melakukan pemerasan berjumlah RM5,000 terhadap seorang lelaki.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam kejadian pada 21 Disember itu, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Cameron Highlands, Pahang telah ditahan dua anggota polis berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh, Selangor pada jam 6 petang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semasa ditahan, anggota terbabit telah memeriksa telefon bimbit mangsa sebelum mahu menangkapnya atas kesalahan membeli nombor ekor haram.

"Mangsa telah meminta dilepaskan namun anggota terbabit telah meminta bayaran sebanyak RM20,000 dan mangsa hanya mampu membayar sebanyak RM4,000.

Iklan

"Anggota terbabit tetap berkeras dan mahu bayaran sebanyak RM5,000.

"Mangsa kemudian telah dibawa ke sebuah stesen minyak untuk mengeluarkan wang sebelum mangsa dilepaskan setelah menyerahkan bayaran sebanyak RM5,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, susulan laporan polis yang dibuat mangsa pada 23 Disember, sepasukan pegawai dan anggota IPD Petaling Jaya bertindak menahan dua anggota terbabit yang bertugas di Balai Sri Hartamas dalam serbuan berasingan pada 24 Disember jam 2 petang dan 9 malam.

Katanya, pihaknya telah merampas sebuah kereta peronda polis jenis Proton Preve, kad kuasa polis, telefon bimbit, wang tunai RM2,500 serta beberapa barangan lain.

"Kedua-dua suspek berusia 30 dan 38 tahun itu telah direman tiga hari sehingga 27 Disember sebelum diberi jamin polis sementara kertas siasatan dilengkapkan untuk dirujuk kepada pihak timbalan pendakwa raya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nik Ezanee memberitahu, pada tahun ini, seramai 55 pegawai dan anggota IPD Petaling Jaya telah dikenakan tindakan tatatertib manakala 12 lagi atas kesalahan jenayah.

Tegasnya, beliau sama sekali tidak akan melindungi sekiranya pegawai atau anggotanya didapati terlibat dalam kes salah laku, jenayah dan dadah.