Tiga anggota polis diupah RM1,000 lakukan jenayah

Iklan
Nik Ezanee (tengah) menunjukkan antara barang yang dirampas susulan tertangkapnya lima suspek termasuk tiga anggota polis di utara tanah air baru-baru ini.

PETALING JAYA - Kegiatan ejen kenderaan mengupah tiga anggota polis dengan bayaran RM1,000 untuk melakukan jenayah terbongkar selepas diberkas dalam serbuan berasingan di utara tanah air.

Serbuan bermula jam 11.20 malam pada Isnin dan Selasa itu berjaya menahan lima suspek utama termasuk tiga anggota polis berkenaan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan yang diterima pihaknya pada Ahad daripada seorang lelaki warga asing.

"Dalam kejadian di Ara Damansara, Petaling Jaya itu, mangsa telah bertemu seorang ejen kenderaan untuk urusan jual beli kereta jenis Audi TT.

Iklan

"Ketika itu, mangsa tiba-tiba telah didatangi dua lelaki memakai vest polis dan bertindak kononnya menahan ejen berkenaan atas kesalahan jenayah sebelum membawa kereta yang dibeli mangsa itu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada Rabu.

Nik Ezanee berkata, bertindak hasil maklumat, ejen kenderaan terbabit berjaya diberkas dengan seorang wanita di sebuah hotel di Seberang Jaya, Pulau Pinang, pada Isnin berserta beberapa rampasan seperti vest kastam, wang tunai berjumlah RM20,000, 26 biji pil disyaki dadah dan dua buah kenderaan jenis Perodua Alza serta Volkswagen.

Nik Ezanee melihat rampasan kereta jenis Audi TT membabitkan tangkapan lima suspek di utara tanah air baru-baru ini.

Iklan

Katanya, soal siasat kemudian membawa tangkapan dua anggota polis di IPD Kuala Muda kira-kira jam 10 pagi pada keesokan hari dan merampas dua keping kad kuasa, dua helai vest polis, tiga telefon bimbit dan lain-lain.

Tambahnya, kira-kira jam 7.10 malam, pihaknya turut berjaya menahan seorang lagi anggota polis di IPD Ipoh dan merampas pakaian, telefon bimbit dan kasut.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengesan sejak bila kegiatan ini aktif, namun pihaknya percaya jenayah ini mensasarkan pembeli di kalangan warga asing yang berminat membeli kenderaan dari Singapura. Malah, anggota polis itu juga didapati bersekongkol melakukan jenayah dengan bayaran RM1,000 seorang.

Kesemua lima tangkapan terbabit kini direman tujuh hari sehingga 4 Januari depan bagi siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, operasi tangkapan ini turut berjaya menumpaskan kegiatan tokan dadah dengan tertangkapnya enam individu berusia lingkungan 30 hingga 54 tahun termasuk dua wanita asing di sebuah rumah di Sungai Petani, Kedah.

"Sebuah kereta jenis Audi TT berjaya ditemui semula. Kita turut menemui 80 biji pil disyaki dadah, tujuh peket lut sinar mengandungi pil dan ketulan disyaki dadah dan alat penimbang," katanya.