Hasil kutipan tabung bantu anak yatim

Iklan
Seramai 71 anak yatim menerima sumbangan tunai dan cenderamata yang disampaikan Masjid Jamek Chukai.
KEMAMAN - Sumbangan berjumlah RM10,650 disalurkan Masjid Jamek Chukai kepada seramai 71 anak yatim untuk membuat persediaan sesi persekolahan baharu tahun depan.

Pengerusi Masjid Jamek Chukai, Abd Hamid Johari berkata, bantuan yang disalurkan berbentuk wang tunai sebanyak RM150 seorang dan cenderamata.

Menurutnya, dana yang disalurkan itu adalah hasil kutipan tabung anak-anak yatim yang diletakkan di masjid itu sepanjang masa.

"Sumbangan ini dihulurkan untuk ringankan beban ibu, bapa atau penjaga dalam menyediakan persiapan sekolah anak-anak mereka dan persediaan boleh dilakukan lebih awal.

"Dari segi pemilihan anak yatim yang layak, pemilihan dilakulan oleh ahli jawatankuasa (AJK) kita yang mana penerima terdiri daripada pelajar berusia 7 hingga 15 tahun dari sekitar Chukai," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan itu yang diadakan di masjis berkenaan.

Menurutnya, kutipan dari tabung anak yatim itu sangat memberangsangkan kerana setiap minggu purata dana yang dikumpulkan antara RM300 hingga RM400.

Tambahnya lagi, hasil daripada kutipan tabung itu pihaknya mengadakan program kebajikan sebanyak dua kali setahun yang mana satu lagi program adalah berbuka puasa bersama anak yatim dan ibu tunggal.

"Pada program itu anak yatim dan ibu tunggal turut menerima bantuan bagi meringankan bebanereka menyambut Syawal," katanya.

Kata Abd Hamid, program amal itu menjadi acara tahun Masjid Jamek Chukai semenjak 6 tahun lalu setelah tabung anak yatim mulai dikutip.

Masjid Jamek Chukai merupakan masjid tertua di Kemaman yang boleh menampung lebih 1,000 jemaah pada satu-satu masa.