SINGAPURA - Singapura mula melaksanakan proses vaksinasi pada Rabu dengan pekerja kesihatan di Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NCID) menjadi kumpulan pertama mendapat suntikan vaksin.
Kementerian Kesihatan republik itu dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa lebih daripada 30 kakitangan NCID menerima suntikan hari ini.
"Ia termasuk kakitangan klinikal, kejururawatan, perkhidmatan berkaitan kesihatan, kakitangan sokongan dan pentadbiran," menurut kenyataan itu.
Menurut Kementerian itu, kakitangan berkenaan akan diberikan suntikan dos kedua vaksin pada hari ke-21, yakni pada 20 Januari.
"Kakitangan NCID yang lain akan diberi vaksin secara berperingkat dan dimulakan dengan pihak pengurusan dan kakitangan Kumpulan Penjagaan Kesihatan Nasional (NHG) bermula Januari 2021," menurut kenyataan itu.
Singapura menerima penghantaran vaksin pertama dari Pfizer-BioNTech pada 21 Disember dan menjangka stok vaksin Covid-19 berikutnya akan tiba secara berperingkat dalam tempoh beberapa bulan.
Pada 27 Disember Kementerian Kesihatan Singapura memaklumkan bahawa pelaksanaan vaksinasi itu akan turut dilaksanakan di lebih banyak institusi penjagaan kesihatan pada bulan-bulan berikutnya.
Ia juga menyasarkan untuk mula melaksanakan vaksinasi terhadap golongan warga emas yang berusia 70 tahun dan ke atas pada Februari 2021.
Kemudian menurut kementerian itu, ia akan mula proses vaksinasi terhadap rakyat Singapura yang lain, serta penduduk tetap jangka panjang layak dari segi perubatan untuk vaksinasi. Vaksinasi adalah percuma. - Bernama