KOTA BHARU - Seorang bapa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini Rabu hari ini atas pertuduhan menggesel kemaluan pada badan dan memasukkan tangan ke dalam seluar anak perempuan yang berusia enam tahun serta menarik tangan seorang lagi anak perempuan yang berusia 14 tahun supaya memegang kemaluannya.
Tertuduh berusia 39 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bekerja kampung tersebut didakwa menggeselkan kemaluan pada badan anak perempuannya yang berusia enam tahun di Kampung Pangkal Kuang, Machang pada jam 5 petang, 1 Disember lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memasukkan tangan ke dalam seluar anak perempuannya itu di lokasi sama pada jam 10 malam, 2 November lalu.
Pendakwaan terhadap dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang lagi anak perempuannya yang berusia 14 tahun di lokasi sama pada jam 5.30 petang pada bulan Februari tahun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya negeri, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam bela Syed Muhammad Syafiq Syed Abu Bakar.
Terdahulu, Abu Arsalnaa memohon mahkamah tidak membenarkan ikat jamin kerana tertuduh dibimbangi akan mengganggu dua anak kandungnya itu.
Syed Muhammad Syafiq pula memohon ikat jamin terhadap anak guamnya selain berjanji tertuduh tidak akan mengganggu mangsa.
Ahmad Bazli bagaimanapun tidak membenarkan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh.
Kes ditetapkan pada 31 Januari depan untuk sebutan semula kes.