Rusia mahu pecah monopoli Perancis di Afrika

Iklan
Republik Afrika Tengah dikatakan kaya dengan pelbagai mineral antaranya emas dan berlian. - Foto AFP

BANGUI - Penglibatan Rusia di Republik Afrika Tengah menyebabkan timbulnya dakwaan bahawa negara tersebut mahu melebarkan pengaruhnya di benua itu yang sebelum ini dimonopoli oleh kuasa-kuasa barat.

Moscow sebelum ini mengetuai satu misi diplomatik sejak tahun 2018 dan memperoleh konsensi bisnes yang diberikan kepada syarikat-syarikatnya bagi mengeksploitasi kekayaan mineral terutamanya emas dan berlian di negara tersebut.

Iklan
Iklan

Rusia juga telah membekalkan senjata-senjata dan merupakan penyokong kepada Presiden Faustin Archange Touadera yang berusia 63 tahun dan dijangka memenangi Pilihan Raya Presiden di negara berkenaan.

Pilihan Raya Presiden dan perundangan diadakan pada Ahad lalu dan pengiraan undi pusingan pertama Pilihan Raya Presiden tersebut akan berakhir pada 19 Januari tahun depan manakala pusingan kedua pilihan raya tersebut bakal diadakan pada 14 Februari tahun depan jika tiada pemenang dalam pusingan pertama.

Iklan

Kerajaan Toudera baru-baru ini menandatangani satu kerjasama ketenteraan dengan Rusia dan telah membuka sebuah pejabat ketenteraan di negara tersebut pada tahun lepas selain menghantar empat pegawai tentera berpangkat jeneral untuk menyelianya.

Pemberian hak melombong di negara tersebut juga diberikan kepada syarikat yang bersekutu dengan seorang ahli perniagaan Rusia, Yevgeny Prigozhin.

Iklan

Beliau mempunyai hubungan rapat dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Presiden Rusia, Vladmir Putin (kiri) menjalin hubungan yang rapat dengan Presiden Afrika Tengah, Faustin Archange Touadera. - Foto AFP

Prigozhin dikatakan pembiaya syarikat keselamatan Rusia iaitu Kumpulan Wagner dengan pekerja-kerja lelakinya ditempatkan di seluruh negara Republik Afrika Tengah, menurut beberapa pakar, diplomat dan pertubuhan bukan kerajaan kepada AFP.

Sekurang-kurangnya 175 jurulatih tentera telah dihantar sejak tahun 2018 ke negara berkenaan untuk melatih askar-askar dan menjamin keselamatan Presiden negara tersebut.

Rusia didakwa menggunakan kehadiran tenteranya di Republik Afrika Tengah untuk menekan Perancis bagi mendapatkan konsesi berhubung isu-isu yang Moscow mempunyai kepentingan di Rusia, kata seorang pengasas bersama Kajian Afrika, Oleksandr Mishyn.

"Faktor Rusia menjadi ancaman di Afrika diketahui oleh Amerika Syarikat (AS) dan kepimpinan Perancis. Sebagai mana yang anda tahu Republik Afrika Tengah telah lama berada di dalam zon pengaruh Perancis tetapi setelah berakhirnya Operasi Sangaris pada tahun 2016, satu kekosongan (pengaruh) berlaku yang menyebabkan Rusia mula mengisinya," katanya.

Operasi Sangaris merupakan campur tangan Perancis di negara Republik Afrika Tengah pada tahun 2013 sebelum berakhir pada tahun 2016 bagi mematahkan perbalahan etnik di negara berkenaan.

Perang saudara meletus pada Mac 2013 di negara berkenaan apabila para penentang kebanyakannya penduduk beragama Islam yang bersekutu dengan kumpulan dikenali sebagai Seleka menyerang ibu negara, Bangui dan menyingkirkan Francois Bozize iaitu bekas jeneral beragama Kristian yang telah merampas kuasa sedekad lalu.

Ribuan penduduk terbunuh manakala ratusan ribu rakyat hilang tempat tinggal di negara yang mempunyai kira-kira lebih empat juta penduduk itu.

Republik Afrika Tengah mencapai kemerdekaan dari Perancis pada tahun 1960 selepas menjadi koloninya pada lewat abad ke-19.

Perancis telah menghantar kira-kira 2,000 askar di Republik Afrika Tengah di bawah mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pada tahun 2014, PBB menghantar misinya yang tersendiri manakala pada tahun 2016 ketika pilihan raya Presiden diadakan, Touadera yang mendapat pendidikan di Perancis memenanginya.

Rusia merupakan penjamin untuk Touadera mengekalkan jawatan Presiden dan syarikat keselamatan dari negara tersebut iaitu Kumpulan Wagner memastikan keselamatan Presiden manakala pengajar ketenteraan Moscow turut serta melatih angkatan tentera Republik Afrika Tengah yang kini baharu pulih daripada konflik sivil pada tahun 2013 hingga 2015, kata Mishyn.

Tambah beliau, Rusia turut membekalkan senjata-senjata kecil dan kenderaan berperisai kepada negara tersebut dan mendapat pula akses penerokaan sumber-sumber mineral seperti berlian, uranium, emas, gas asli, kolombit, kasiterit, ilmenit dan rutil di negara berkenaan.

Seorang pakar Rusia, Arnaud Kalika pula berkata kepada AFP:"Rusia menawarkan pakej keselamatan tanpa memberikan hutang kewangan cuma konsesi diberikan kepada syarikat-syarikat konglomerat."

Justeru, pada Oktober lalu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan Amerika Syarikat iaitu The Sentry menyiarkan satu laporan dengan menyatakan kuasa asing sedang campur tangan di negara tersebut bagi membolot hartanya dan mendapatkan kepentingan geostrategik di sebahagian benua tersebut. - Agensi