TINDAKAN seorang wanita di Pulau Pinang pada Selasa lalu yang tergamak memukul seekor kucing bunting hingga mati adalah perilaku yang zalim dan tidak berperikemanusiaan.
Hanya kerana kucing itu dikatakan membuang najis di hadapan rumahnya, mengakibatkan dua nyawa tidak berdosa melayang.
Tidakkah dia berasa kasihan dan simpati? Difahamkan, dalam kejadian jam 1.20 petang itu, wanita terbabit merungut memarahi dua kucing berkenaan sebelum pergi ke keretanya untuk mengambil besi dan memukul haiwan itu yang mengakibatkan seekor mati dan seekor lagi cedera di mulut.
Kejadian itu dilihat oleh penduduk sebelum melaporkan kepada Jabatan Veterinar negeri. Tindakan selanjutnya telah diambil termasuklah menyiasat perkara berkenaan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Kes menganiaya haiwan bukanlah perkara baharu. Ada banyak lagi kes sedemikian yang mungkin tidak dilaporkan atau dianggap enteng, namun tindakan kejam terhadap haiwan boleh mengakibatkan si pelaku didenda dan dipenjara.
Pada 5 November 2019, Mahkamah Sesyen Selayang menjatuhkan hukuman penjara 34 bulan dan denda RM40,000 terhadap seorang lelaki selepas bersalah membunuh kucing bunting dengan memasukkannya ke dalam mesin pengering dobi layan diri.
Kes kedua melibatkan seorang penganggur pada 16 Julai 2020 di mahkamah sama atas pertuduhan membunuh tiga ekor kucing dengan melemaskan haiwan itu di dalam tiga mesin basuh di sebuah kedai dobi layan diri di Kepong.
Nasihat Merak Jalanan, janganlah bertindak kejam hidup di dunia ini. Ingatlah kucing juga ada penciptanya dan kita sebagai manusia juga dicipta oleh pencipta yang sama.
Mereka juga mempunyai hak untuk hidup. Sentiasa kasihani haiwan ini walaupun ia kucing jalanan.