SHAH ALAM – Pas mengingatkan mana-mana pihak bahawa mereka tidak perlu meminta parti itu memilih sama ada hendak bersama Muafakat Nasional atau tidak.
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana Pas adalah watak utama yang merangka dan berusaha menubuhkan Muafakat Nasional atas dasar penyatuan ummah.
"Pas berpegang teguh dengan Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai antara UMNO dan Pas pada 14 September 2019 yang antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.
"Pas turut mempertegaskan betapa Muafakat Nasional perlu dijadikan amalan musyawarah dalam memperkasakan agenda Islam, Melayu, Bumiputera khususnya dan rakyat Malaysia amnya secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan negara demi membangunkan negara inklusif, sejahtera dan menjamin keadilan sosial merentasi batas warna kulit mahu pun anutan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, portal berita Malaysiakini menerusi satu wawancara bersama Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menyatakan sekiranya UMNO terpaksa membawa haluan sendiri menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, ia bukanlah satu masalah.
Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, dengan sikap Pas yang semakin dilihat ‘menyebelahi’ Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berbanding UMNO, ia mungkin boleh menjejaskan peluang UMNO untuk kembali mengetuai kerajaan Pusat.
Takiyuddin menegaskan, parti itu berpandangan bahawa Muafakat Nasional bukanlah milik eksklusif sesuatu parti atau kelompok, sebaliknya harus dibuka kepada semua kalangan yang cintakan perpaduan, keharmonian dan keadilan dalam negara ini.
Katanya, dengan mengekalkan komitmen mantap dalam agenda besar Muafakat Nasional, adalah jelas dari sudut pendekatan dan strategi politik, tidak ada apa-apa halangan yang dikenakan untuk UMNO daripada kekal bersama Barisan Nasional (BN) mahupun Pas menyertai mana-mana gabungan atau kerjasama politik.
"Apa yang penting adalah gabungan UMNO dan Pas boleh, malah perlu, bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai cita-cita yang sama dalam menghadapi PRU15 dengan suatu persefahaman yang jitu, khususnya tiada pertembungan sesama sendiri yang menguntungkan pihak lain.
"Pas amat yakin bagi mencapai cita-cita dan hasrat ini semua pihak perlu meneroka jalan damai dan saling menerima serta menghormati, bukan sebaliknya,” katanya.