Beri pampasan jika tak benar teroka REE: MB Kedah

Iklan
Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR - Kedah wajar diberikan pampasan sekiranya tidak dibenarkan meneroka sumber galian Rare Earth Element (REE) yang tersimpan dalam tanah di beberapa daerah negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sudahlah negeri ini berkorban dengan tidak menebang balak untuk kelestarian sumber air, serta mengekalkan tanah sawah untuk jaminan makanan negara, kini Kedah dipertikaikan untuk meneroka sumber baharu yang boleh menjana pendapatan negeri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kegusaran ramai pihak terhadap hasrat Kedah mahu meneroka REE di hutan simpan negeri ini tidak perlu diperbesarkan susulan pihaknya komited untuk memanfaatkan REE tanpa menjejaskan Hutan Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air untuk Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

"Oleh kerana REE antaranya berada di bawah Hutan Simpan Ulu Muda, perlu ada satu kajian khusus bagaimana untuk kita teroka tanpa jejas alam sekitar. Sudah pasti aspek ini diberikan keutamaan, ia tidak akan dilakukan secara semberono,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Muhammad Sanusi berkata, setelah dimaklumkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), terdapat REE di Kedah, pihaknya mengambil inisiatif melakukan kajian untuk mengetahui jenis REE yang ada di bumi Kedah selain kaedah terbaik untuk memanfaatkannya.

"Untuk permulaan, kita hanya luluskan permit teroka, bukan permit cari gali. Kalau tak teroka, mana nak tahu benarkah REE ada seperti didakwa dalam kajian dan anggaran.

Iklan

"Sekiranya Kedah tidak dibenarkan meneruskan usaha cari gali sumber kekayaan bawah bumi kita, bagilah pampasan sebagaimana untuk kekalkan hutan dan sawah padi, kita sudah banyak berkorban namun Pusat harus hargai pengorbanan itu,” katanya.

Menurutnya, Kedah tidak mahu lagi diperlekehkan dan akan bangkit sebagai ‘singa’ semula di negara ini dalam mempertahankan hak negeri ini.

Laporan Sinar Harian, Isnin lalu.

"Kedah tidak boleh diperah selamanya untuk manfaat pihak lain atau negeri lain. Kita tidak bangunkan tanah untuk padi, hutan tak diteroka untuk tadahan dan bekalan air. Ada galian tak boleh teroka rosakkan alam sekitar yang penting untuk kelestarian hutan, ada kawasan industri besar namun cukai industri milik Persekutuan.

"Kedah juga miliki sejarah awal tamadun manusia lebih awal dari Borobudur dan Angkor Watt, iaitu di Sungai Batu namun tiada usaha bersungguh dari kerajaan Persekutuan untuk bangunkan sebagai tarikan pelancong. Kita tak boleh ‘pejam mata’ lagi,” katanya

Sehubungan itu, pihaknya akan berusaha menjayakan perancangan melalui Majlis Mineral Negara dengan mengemukakan hujah bagi meyakinkan pelabur dan kerajaan Pusat.

"Kuasa bidang tersebut adalah bidang kuasa negeri, melainkan dibuktikan sebaliknya,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, setakat ini perancangan awal lancar dan kerajaan negeri telah mengadakan taklimat teknikal bersama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan syarikat yang dilantik untuk meneroka kawasan REE di Kedah.

"Beberapa syarikat mohon adakan perbincangan untuk menawarkan kepakaran masing-masing untuk mengekstrak REE. Buat masa ini, kita masih tunggu garis panduan daripada JMG.

"Untuk syarikat cari gali REE, kita beri syarat mesti memproses sumber itu di Kedah, bukan eksport secara mentah ke luar negara,” katanya.

Menurutnya, semua syarikat berminat yang mengemukakan kertas cadangan cari gali adalah syarikat tempatan dan mempunyai jalinan kerjasama bersama syarikat luar negara.

"Saintis mereka mungkin dari China atau Amerika Syarikat, dua negara itu saja miliki teknologi berkenaan. Kedah mengalu-alukan mana-mana pihak berminat untuk tawar khidmat nasihat dan kepakaran dalam bidang ini, termasuk pakar dari dalam negara,” katanya.

Tambah Muhammad Sanusi, pihaknya berharap semua rundingan lancar dan sekiranya tiada halangan, Kedah akan mendahului negeri lain dalam bidang berkenaan.

Pada Isnin, dalam temubual eksklusif bersama Pensyarah Kanan di Jabatan Teknologi Tenaga, Mineral dan Bahan, Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Hafidz Yusoff berkata, untuk meningkatkan sumber ini sebagai satu perlombongan baharu di Malaysia, perlu diwujudkan institusi atau pusat kajian lebih banyak untuk mengkaji REE.

Katanya, REE adalah sumber yang tidak boleh diperbaharui dan sekiranya dilombong, simpanan rizab akan berkurang.

"Memandangkan Malaysia belum menjadi negara yang menghasilkan teknologi, sumber mineral ini perlu dieksport ke luar dan pada ketika negara sudah bersedia, sumber mineral ini telah kehabisan," katanya.

Menurutnya, perancangan jangka panjang diperlukan bagi memastikan mineral itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh negara, termasuk kajian menyeluruh dan kesan persekitaran perlombongan sebelum meneroka REE.

ARTIKEL BERKAITAN: Adakah selamat Kedah melombong REE?

[DIKEMASKINI] Mineral bernilai RM60 bilion diteroka di Kedah