Tiada kes kartel daging haram di Kedah

Iklan
Wan Romani (dua dari kanan) menyerahkan bantuan kerusi roda kepada penerima yang juga ahli Persatuan Bekas Polis Malaysia Negeri Kedah, selepas merasmikan mesyuarat agong tahunan hari ini.

ALOR SETAR - Tiada kes daging sejuk beku import haram dikesan di Kedah hasil pemantauan dan pemeriksaan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah setakat ini.

Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Wan Romani Wan Salim berkata, daripada 52,000 pemeriksaan di pelbagai premis sepanjang tahun ini, KPDNHEP Kedah tidak mengesan sebarang aktiviti berkaitan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihaknya sudah melakukan pemeriksaan berterusan dan tiada kemasukan daging kartel haram di negeri ini.

"Pengguna daging sejuk beku import di Kedah tidak perlu bimbang dengan status halal daging dalam pasaran negeri ini, ia selamat dimakan kerana bekalan diperoleh daripada pembekal serta pemborong yang sah serta berdaftar,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan Persatuan Bekas Polis Malaysia Negeri Kedah ke-40 di sini, pada Khamis.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Kartel daging: Polis Johor akan terima lebih banyak laporan

Kartel daging: Beri kepercayaan pihak berkuasa siasat

Iklan

KPDNHEP agensi utama siasat isu kartel daging: Ketua Polis Negara

Salah laku proses import daging perlu diteliti

Menurutnya, selepas isu berkenaan didedahkan, pihaknya melakukan pemeriksaan menyeluruh di setiap daerah dan setelah diperiksa tiada kes seumpama itu dikesan.

Mengulas sama ada negara perlu bertegas dengan mengharamkan kemasukan daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina, Wan Romani berkata, terpulang kepada hasil siasatan dan penilaian pihak kementerian untuk memutuskan penyelesaian terbaik untuk pengguna.

"Tindakan diambil oleh kerajaan sekarang pun sudah terbaik. Ada yang mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes penyeludupan daging yang menyalahgunakan logo halal, selain pasukan siasatan KPDNHEP.

"Setelah beroleh bukti, kemungkinan dalang kartel didakwa di mahkamah dan semua pihak harus akur peraturan dan kaedah terbaik dalam menyelesaikan kemelut ini,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian membongkar taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.

Kegiatan itu terbongkar dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, Johor pada 1 Disember lalu, diketuai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor bersama agensi penguat kuasa lain.

Dalam perkembangan lain, Wan Romani berkata, berdasarkan 52,000 pemeriksaan dan pemantauan di negeri ini, kes terbanyak yang dilaporkan adalah berkaitan pelanggaran peraturan musim perayaan.

"Kes paling banyak aduan melibatkan barang kawalan pada musim perayaan, seperti bekalan tidak mencukupi, harga jualan melebihi harga siling serta tidak dipamer tanda harga,” katanya.